Yo'el 2:21-27
Yo'el 2:21-27 AVB
Jangan takut, wahai tanah, bergembiralah dan bersukacitalah, kerana TUHAN telah melakukan hal yang besar. Jangan takut, wahai binatang-binatang liar, kerana padang-padang rumput di gurun telah bersemi. Pokok menghasilkan buahnya, pokok ara dan pokok anggur memberikan kekayaannya. Wahai bani Sion, bergembiralah dan bersukacitalah kerana TUHAN, Allahmu, kerana Dia mengurniakan kepadamu hujan awal musim dengan adilnya. Dia menurunkan hujan bagimu, hujan awal musim ataupun hujan akhir musim seperti dahulu. Tempat-tempat pembantingan tuaian akan dipenuhi gandum, tempat-tempat pemerasan akan berkelimpahan air anggur dan minyak. Aku akan memulihkan bagimu tahun-tahun yang dilahap oleh belalang besar, belalang pelahap, belalang pemusnah, dan belalang pengerat, iaitu pasukan-Ku yang besar, yang telah Kukirimkan kepada kalangan kamu. Kamu akan makan banyak-banyak sampai kenyang dan memuji nama TUHAN, Allahmu, yang telah melakukan keajaiban untukmu. Umat-Ku tidak akan malu lagi untuk selama-lamanya. Kamu akan mengetahui bahawa Aku hadir di tengah-tengah Israel, bahawa Akulah TUHAN, Allahmu, dan tidak ada yang lain. Umat-Ku tidak akan malu lagi untuk selama-lamanya.”





