Ayub 2:7-13
Ayub 2:7-13 AVB
Kemudian Iblis pergi dari hadirat TUHAN. Dia menimpakan Ayub dengan barah bisul yang parah dari telapak kaki sampai ke ubun-ubunnya. Ayub mengambil sekeping pecahan tembikar untuk mengikis-ngikis badannya sambil duduk di tengah-tengah abu. Isterinya berkata kepadanya, “Masihkah kau berpegang teguh pada keikhlasanmu? Kutuk Allah dan matilah!” Tetapi jawab Ayub kepadanya, “Engkau bercakap seperti seorang perempuan jahil lagi bodoh. Takkan kita hanya mahu menerima yang baik daripada Allah, dan tidak mahu menerima yang buruk?” Dalam semua hal itu, Ayub tidak berdosa dengan bibirnya. Khabar tentang segala malapetaka yang menimpa Ayub itu terdengar oleh ketiga-tiga orang sahabatnya, iaitu Elifas orang Teman, Bildad orang Suah, dan Zofar orang Naama. Maka mereka pun bermuafakat dan bersiap untuk pergi dari tempat masing-masing untuk berdukacita bersama-sama dia serta menyenangkan hatinya. Ketika mereka memandang dia dari jauh dan tidak dapat mengenalinya lagi, menangislah mereka dengan suara yang nyaring. Mereka mengoyakkan jubah masing-masing dan menghamburkan debu ke langit, ke atas kepala mereka. Kemudian mereka duduk di tanah bersama-samanya selama tujuh hari tujuh malam. Tidak ada seorang pun yang mengucapkan sepatah kata jua kepadanya, kerana mereka melihat betapa berat sekali penderitaannya.





