YouVersion Logo
Search Icon

Yohanes 6:5-15

Yohanes 6:5-15 AVB

Apabila Yesus memandang sekeliling dan melihat ramai orang datang ke arah-Nya, Dia berkata kepada Filipus, “Dari manakah dapat kita beli makanan untuk semua mereka ini?” (Sebenarnya Yesus bertanya itu untuk menduga Filipus sahaja kerana Dia tahu apa yang akan dilakukan-Nya.) Filipus menjawab, “Roti yang berharga dua ratus dinar pun tidak cukup, meskipun jika dibahagi secebis seorang.” Seorang lagi murid Yesus yang bernama Andreas, saudara Simon Petrus, berkata kepada-Nya, “Ada seorang budak di sini yang mempunyai lima buku roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi tidak mungkin akan cukup untuk orang seramai ini!” Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Ajaklah mereka duduk.” (Di situ ada banyak rumput.) Mereka itu pun duduk, kira-kira lima ribu orang lelaki semuanya. Yesus mengambil roti itu lalu mengucap syukur kepada Allah. Selepas itu, Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada mereka yang duduk di sini. Kemudian Dia membahagi-bahagikan ikan itu pula sebanyak yang dikehendaki mereka. Setelah kenyang semuanya, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Kumpulkanlah baki makanan, jangan ada yang terbuang.” Lalu mereka mengumpulkannya dan mengisi dua belas bakul baki makanan daripada lima buku roti barli yang dimakan oleh orang ramai itu. Apabila mereka melihat mukjizat yang dilakukan oleh Yesus itu, mereka pun berkata, “Memang Dialah Nabi yang dinanti-nantikan datang ke dunia!” Yesus tahu bahawa mereka hendak datang dan memaksa-Nya menjadi raja. Oleh itu, Dia beredar sekali lagi ke bukit seorang diri.

Free Reading Plans and Devotionals related to Yohanes 6:5-15