Yesaya 52:4-10
Yesaya 52:4-10 AVB
Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Pada mulanya umat-Ku pergi ke Mesir untuk tinggal di sana sebagai pendatang. Kemudian orang Asyur menindas mereka dengan tidak semena-mena. Sekarang, apakah lagi urusan-Ku di sini?” Demikianlah firman TUHAN. “Umat-Ku diambil tanpa harga. Orang yang menguasainya meraung-raung,” demikianlah firman TUHAN, “dan nama-Ku terus dinista sepanjang hari. Oleh sebab itu umat-Ku akan mengenal nama-Ku, dan pada hari itu mereka akan mengetahui bahawa Akulah yang berfirman, ya Aku.” Alangkah indahnya di atas gunung-gunung melihat kaki mereka yang membawa berita baik, yang mengkhabarkan kedamaian, yang membawa khabar kesukaan, yang mengkhabarkan penyelamatan, yang berkata kepada Sion, “Allahmu bertakhta!” Dengarlah, para pengintipmu menyaringkan suara, mereka bersorak-sorai bersama-sama, kerana dengan mata kepala sendiri mereka melihat bagaimana TUHAN memulihkan Sion. Bergembiralah, bersorak-sorailah bersama-sama, wahai reruntuhan Yerusalem, kerana TUHAN telah menghiburkan umat-Nya. Dia telah menebus Yerusalem. TUHAN telah memperlihatkan kuasa-Nya yang suci di hadapan mata segala bangsa. Segala hujung bumi akan melihat penyelamatan daripada Allah kita.





