Kejadian 29:28-35
Kejadian 29:28-35 AVB
Yakub menyanggupinya. Dia menggenapi tujuh hari pernikahannya dengan Lea, dan setelah itu Laban memberikan pula Rahel, anaknya, kepada Yakub untuk menjadi isterinya. Kepada anaknya Rahel, Laban juga memberikan seorang hamba perempuan, bernama Bilha untuk menjadi hambanya. Yakub pun meniduri Rahel yang lebih dicintainya berbanding dengan Lea. Kemudian dia bekerja lagi untuk Laban selama tujuh tahun. TUHAN melihat betapa Lea tidak dicintai. Maka Dia membuka rahim Lea, tetapi Rahel mandul. Lea pun mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki yang dinamainya Ruben kerana katanya, “Sesungguhnya, TUHAN melihat akan kesusahanku dan pastinya kini aku akan dicintai oleh suamiku.” Dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak. Katanya, “Sesungguhnya, TUHAN mendengar bahawa aku tidak dicintai, maka dikurniakan-Nya pula anak ini kepadaku.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Simeon Selanjutnya dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak. Katanya, “Kali ini suamiku akan bertambah erat lagi denganku kerana aku sudah melahirkan tiga orang anak untuknya.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Lewi. Dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak. Katanya, “Kali ini aku hendak memuji TUHAN.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Yehuda. Setelah itu, dia tidak melahirkan anak lagi.