Ezra 7:6-11, 27-28
Ezra 7:6-11 AVB
Ezra berangkat pulang dari Babel. Dia seorang ahli Kitab Suci, mahir dalam Kitab Suci Taurat yang diberikan TUHAN, Allah Israel, melalui Musa. Segala permintaannya diluluskan oleh raja kerana tangan TUHAN, Allahnya, menaunginya. Pada tahun ketujuh zaman pemerintahan Raja Artahsasta, serombongan orang daripada orang Israel, imam dan bani Lewi, penyanyi, penjaga pintu gerbang, serta hamba Bait Allah juga berangkat pulang menuju Yerusalem. Ezra tiba di Yerusalem pada bulan kelima dalam tahun ketujuh zaman pemerintahan raja itu. Pada hari pertama bulan pertama itu dia memulakan perjalanannya dari Babel, dan pada hari pertama pada bulan kelima sampailah dia di Yerusalem, kerana tangan Allahnya yang baik menaunginya. Ezra memang telah menetapkan hatinya untuk mengkaji hukum TUHAN, mengamalkannya, dan mengajarkan ketetapan serta peraturan kepada orang Israel. Inilah salinan surat yang diberikan Raja Artahsasta kepada Imam Ezra, ahli Kitab Suci Taurat, ahli dalam hal ehwal perintah dan ketetapan TUHAN bagi orang Israel.
Ezra 7:27-28 AVB
Segala puji bagi TUHAN, Allah nenek moyang kita, yang telah meletakkan hal seperti ini dalam hati raja sehingga dia mahu mengembalikan keindahan Bait TUHAN di Yerusalem, dan yang telah memanjangkan ihsan kepadaku di hadapan raja, para penasihatnya, dan semua pembesar raja yang berkuasa! Maka aku pun menguatkan hati, lantaran tangan TUHAN, Allahku, menaungi aku. Lalu kukumpulkan beberapa orang pemimpin daripada kalangan orang Israel untuk berangkat pulang bersama-samaku.