YouVersion Logo
Search Icon

Keluaran 7:1-13

Keluaran 7:1-13 AVB

TUHAN berfirman kepada Musa, “Lihatlah, Aku telah menjadikan engkau bagaikan Allah kepada Firaun, dan Harun abangmu seolah-olah nabi untukmu. Engkau hendaklah mengatakan semua yang Kuperintahkan kepadamu, dan Harun abangmu hendaklah mengatakan kepada Firaun bahawa dia hendaklah mengizinkan orang Israel pergi dari negerinya. Akan tetapi, Aku akan mengeraskan hati Firaun dan melipatgandakan tanda serta mukjizat-Ku di Tanah Mesir. Firaun tidak akan mempedulikan kata-kata kamu, maka Aku akan menunjukkan kuasa-Ku atas Mesir dan membawa keluar rombongan umat-Ku, iaitu orang Israel, dari Tanah Mesir dengan mengenakan pelbagai hukuman yang berat. Warga Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN, apabila Aku menghulurkan tangan-Ku terhadap Mesir serta membawa orang Israel keluar daripada tengah-tengah mereka.” Maka Musa dan Harun melaksanakan sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN kepada mereka. Umur Musa lapan puluh tahun manakala Harun lapan puluh tiga tahun sewaktu mereka berbicara kepada Firaun. TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun demikian, “Apabila Firaun berkata kepada kamu begini, ‘Tunjukkanlah suatu mukjizat,’ maka haruslah kamu katakan kepada Harun, ‘Ambillah tongkatmu dan campakkanlah di hadapan Firaun, kemudian tongkat itu akan menjadi ular.’ ” Maka pergilah Musa dan Harun menghadap Firaun, lalu mereka melaksanakan apa yang diperintahkan oleh TUHAN. Harun mencampakkan tongkatnya di hadapan Firaun dan di hadapan para pegawainya, lalu tongkat itu menjadi ular. Kemudian Firaun memanggil orang berilmu serta para ahli sihir. Mereka, iaitu para ahli ilmu sihir Mesir itu, menggunakan ilmu mereka lalu turut membuat perkara yang sama. Masing-masing mencampakkan tongkatnya, lalu tongkat-tongkat itu menjadi ular. Tetapi tongkat Harun menelan tongkat-tongkat mereka. Meskipun begitu, hati Firaun tetap keras dan dia enggan mendengar permintaan Musa dan Harun, sebagaimana yang telah difirmankan oleh TUHAN.