Keluaran 35:20-29
Keluaran 35:20-29 AVB
Kemudian pergilah seluruh jemaah Israel dari hadapan Musa. Sesudah itu datanglah semua orang yang tergerak hati mereka dan semua orang yang ikhlas jiwa mewakafkan persembahan khusus kepada TUHAN untuk pengerjaan Khemah Pertemuan, untuk seluruh peribadatannya, dan untuk pakaian suci. Setiap orang yang ikhlas hatinya, baik lelaki mahupun perempuan, datang membawa anting-anting hidung, anting-anting telinga, cincin mohor, dan gelang tangan iaitu segala jenis barang emas permata. Mereka semua mewakafkan persembahan unjukan daripada emas kepada TUHAN. Selain itu, setiap orang yang mempunyai kain biru, kain ungu, kain merah menyala, kain linen halus, bulu kambing, kulit domba jantan yang dicelup merah, dan kulit anjing laut, datang membawanya. Setiap orang yang dapat mempersembahkan persembahan khusus daripada perak atau gangsa, mewakafkannya sebagai persembahan khusus kepada TUHAN, dan setiap orang yang mempunyai kayu akasia untuk segala pekerjaan peribadatan datang pula membawanya. Setiap perempuan yang ahli dalam hal memintal dengan tangannya sendiri datang membawa barang yang dipintalnya, iaitu kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus. Kemudian setiap perempuan yang tergerak hatinya kerana memiliki keahlian itu pun memintal bulu kambing. Para pemimpin membawa batu permata unam dan batu permata tatahan untuk baju efod serta penutup dada, rempah-ratus dan minyak untuk pencahayaan, untuk minyak tahbis, dan untuk dupa harum. Semua lelaki dan perempuan yang ikhlas hati membawa sesuatu bagi segala pekerjaan yang harus dilakukan, selaras dengan apa yang diperintahkan oleh TUHAN dengan perantaraan Musa. Orang Israel datang mewakafkan semuanya sebagai persembahan sukarela kepada TUHAN.





