Daniel 9:4-6, 15-19
Daniel 9:4-6 AVB
Aku berdoa kepada TUHAN, Allahku, dan mengakui segala dosa, demikian, “Ya Tuhan, Allah, Yang Maha Besar dan terlalu mengagumkan, yang berpegang teguh pada perjanjian dan kasih abadi terhadap orang yang mencintai Engkau serta berpegang teguh pada segala perintah-Mu! Kami telah berdosa, bersalah, berbuat fasiq, dan menderhaka. Kami telah menyimpang daripada perintah-perintah-Mu dan peraturan-peraturan-Mu. Kami tidak mendengar teguran hamba-hamba-Mu, para nabi, yang berbicara atas nama-Mu kepada raja-raja kami, para pembesar kami, nenek moyang kami, dan kepada seluruh rakyat negeri.
Daniel 9:15-19 AVB
Sekarang, ya Tuhan, Allah kami, yang telah membawa umat-Mu keluar dari Tanah Mesir dengan tangan kuat dan yang menjadi masyhur sebagaimana nyata hari ini, kami telah berdosa, kami telah berbuat fasiq. Ya Tuhan, selaras dengan segala kebenaran-Mu, surutkanlah kiranya amarah dan murka-Mu dari kota-Mu Yerusalem, yakni gunung-Mu yang suci. Sungguh, kerana dosa-dosa kami dan kesalahan-kesalahan nenek moyang kami, Yerusalem dan umat-Mu menjadi bahan celaan bagi semua orang di sekeliling kami. Sekarang, ya Allah kami, dengarlah doa hamba-Mu dan permohonan-permohonannya. Demi Tuhan sendiri, biarlah hadirat-Mu menyinari tempat suci-Mu yang telah tandus ini. Ya Allahku, berilah perhatian dan dengarlah! Sudilah memandang dan lihatlah kebinasaan kami serta kota yang disebut dengan nama-Mu. Kami menyampaikan kesemua permohonan ini ke hadirat-Mu bukan berasaskan kebenaran kami, melainkan berasaskan rahmat-Mu yang besar. Ya Tuhan, dengarlah! Ya Tuhan, ampunilah! Ya Tuhan, perhatikanlah dan bertindaklah! Demi nama-Mu, ya Allahku, jangan bertangguh, kerana kota-Mu dan umat-Mu disebut dengan nama-Mu!”





