Kisah Para Rasul 4:1-2, 5-13
Kisah Para Rasul 4:1-2 AVB
Sementara mereka bercakap kepada orang ramai, para imam dan ketua pengawal Bait Suci serta orang Saduki datang kepada mereka. Mereka sangat gelisah bahawa rasul itu mengajar orang ramai dan memberitakan kebangkitan daripada kematian melalui Yesus.
Kisah Para Rasul 4:5-13 AVB
Pada esoknya, para pemimpin masyarakat Yahudi, tua-tua dan ahli-ahli Taurat berhimpun di Yerusalem, dan juga imam besar Hanas, Kayafas, Yohanes, Aleksander dan seluruh keluarga imam besar. Mereka membawa Petrus dan Yohanes untuk dihadapkan kepada mereka. Kemudian mereka pun bertanya, “Dengan kuasa apa dan dengan nama siapakah kamu telah melakukan perkara itu?” Petrus yang dipenuhi Roh Kudus berkata kepada mereka, “Para pemimpin masyarakat Israel! Sekiranya hari ini kami dihakimi atas perbuatan baik kepada seorang yang lumpuh, sehingga dia dipulihkan, maka ketahuilah kamu sekalian dan seluruh bangsa Israel, bahawa dengan nama Yesus Kristus dari Nazaret, yang telah kamu salib dan telah dibangkitkan Allah daripada kematian, dengan nama Dialah orang ini berdiri di sini di hadapanmu dalam keadaan sihat sempurna. Inilah ‘batu yang kamu buang sebagai pembina, kini telah menjadi batu penjuru.’ Tiadalah penyelamatan melalui sesiapa yang lain, kerana tiada nama lain di bawah langit ini diberikan dalam kalangan manusia, yang dapat menyelamatkan kita.” Apabila mereka melihat keberanian Petrus dan Yohanes sedangkan kedua-duanya ternyata orang yang tidak berpelajaran serta tidak terlatih, mereka pun hairan. Mereka sedar bahawa kedua-duanya telah bersama dengan Yesus.