2 Tesalonika 3:6-13
2 Tesalonika 3:6-13 AVB
Tetapi, saudara-saudaraku, kami memerintahkan kamu dengan nama Tuhan Yesus Kristus supaya menjauhkan diri daripada setiap saudara yang hidup malas dan tidak menurut ajaran yang telah kami berikan. Kamu tahu bahawa kamu harus mengikut teladan kami. Kami tidak hidup malas ketika bersamamu dahulu. Kami juga tidak mendapatkan makanan daripada orang lain dengan percuma. Sebaliknya, kami bertungkus-lumus siang malam supaya tidak membebankan sesiapa pun antara kamu. Bukan kerana kami tidak berhak menuntut bantuanmu, tetapi untuk menjadi teladan kepadamu. Sewaktu kami bersamamu, kami telah memberikan perintah ini: “Sesiapa yang tidak mahu bekerja, tidak boleh makan.” Kami mendengar ada di antaramu orang yang hidup malas, langsung tidak bekerja tetapi mencampuri urusan orang. Dengan nama Tuhan Yesus Kristus kami memerintahkan dan menyeru orang begitu supaya bekerja sewajarnya, menjaga hal masing-masing dan mencari nafkah sendiri. Tetapi kamu, saudara-saudaraku, janganlah jemu berbuat baik.