2 Samuel 6:1-2, 6-15
2 Samuel 6:1-2 AVB
Sekali lagi Daud menghimpunkan semua orang pilihan dari Israel, jumlahnya seramai tiga puluh ribu orang. Kemudian Daud dan seluruh rakyat bersiap-siap lalu berjalan dari Baale-Yehuda, untuk mengangkut dari sana tabut Allah, yang disebut dengan nama TUHAN alam semesta yang bertakhta di atas kerubin.
2 Samuel 6:6-15 AVB
Ketika mereka sampai di tempat pembantingan bijirin Nakhon, Uza menghulurkan tangannya untuk memegang tabut Allah, kerana lembu-lembu pedati itu tergelincir. Lalu menyalalah murka TUHAN terhadap Uza. Allah mengajar dia di sana kerana kesalahannya itu, dan matilah dia di sana, berdekatan dengan tabut Allah. Daud berasa kesal kerana TUHAN telah menyambar Uza. Itulah sebabnya tempat itu disebut Peres-Uza sampai hari ini. Namun begitu, pada hari itu Daud menjadi takut kepada TUHAN, katanya, “Bagaimanakah mungkin tabut TUHAN itu dapat sampai kepadaku?” Oleh sebab itu Daud tidak mahu memindahkan tabut TUHAN ke tempatnya, di Kota Daud, tetapi Daud menyinggahkannya di rumah Obed-Edom, orang Gat. Tiga bulan lamanya tabut TUHAN tinggal di rumah Obed-Edom, orang Gat itu, dan TUHAN memberkati Obed-Edom serta seluruh keluarganya. Kemudian kepada Raja Daud dikhabarkan demikian, “TUHAN memberkati keluarga Obed-Edom dan semua miliknya kerana tabut Allah itu.” Maka pergilah Daud mengangkut tabut Allah itu dari rumah Obed-Edom ke Kota Daud dengan penuh sukacita. Apabila para pengangkat tabut TUHAN itu melangkah maju enam langkah, dia mengorbankan seekor lembu dan seekor anak lembu yang tambun. Sebagai ungkapan syukur kepada TUHAN, Daud menari-nari dengan penuh semangat. Dia memakai jubah efod daripada kain linen. Demikianlah Daud dan seluruh keturunan kaum Israel mengangkut tabut TUHAN dengan sorak-sorai diiringi bunyi sangkakala.