YouVersion Logo
Search Icon

2 Raja-Raja 19:14-20

2 Raja-Raja 19:14-20 AVB

Hizkia menerima surat itu daripada tangan para utusan lantas membacanya. Kemudian Hizkia pergi ke Bait TUHAN dan membentangkan surat itu di hadapan TUHAN. Lalu berdoalah Hizkia kepada TUHAN, “Ya TUHAN, Allah Israel, yang bersemayam di atas malaikat-malaikat kerubin! Hanya Engkaulah Allah atas segala kerajaan di bumi. Engkaulah yang menjadikan langit dan bumi. Berikanlah perhatian, ya TUHAN, dan dengarlah. Sudilah, memandang, ya TUHAN, dan lihatlah. Dengarlah kata-kata Sanherib yang telah dikirimnya untuk mencela Allah yang hidup. Ya TUHAN, memang benar bahawa raja-raja Asyur telah memusnahkan bangsa-bangsa itu dan negeri mereka dan mencampakkan tuhan mereka ke dalam api, kerana semua itu bukan Allah melainkan buatan tangan manusia, daripada kayu dan batu, sehingga dapat dibinasakan. Sekarang ya TUHAN, Allah kami, selamatkanlah kami daripada tangannya, supaya semua kerajaan di bumi tahu bahawa hanya Engkaulah Allah, ya TUHAN.” Kemudian Yesaya anak Amos menghantar seorang utusan kepada Hizkia untuk mengatakan, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku telah mendengar apa yang telah kaudoakan kepada-Ku tentang Sanherib, raja Asyur.’