1 Tesalonika 5:4-15
1 Tesalonika 5:4-15 AVB
Tetapi, saudara-saudara, kamu tidak hidup dalam kegelapan. Hari itu tidak seharusnya mengejutkan kamu seperti datangnya pencuri. Kamu semua anak cahaya, anak siang. Kita bukanlah makhluk malam atau kegelapan. Oleh yang demikian, janganlah kita tidur seperti orang lain. Marilah kita berjaga dan berkeadaan siuman. Orang yang tidur, tidur pada waktu malam. Orang yang mabuk, mabuk pada waktu malam. Tetapi kita anak-anak siang, hendaklah sentiasa waras dan waspada. Jadikan iman dan kasih perisai dada kita, serta harapan diselamatkan sebagai ketopong pelindung kepala. Allah memilih kita bukannya untuk menanggung kemurkaan-Nya, tetapi untuk diselamatkan melalui Tuhan kita Yesus Kristus. Yesus telah mati untuk kita supaya kita dapat hidup bersama-Nya sewaktu Dia datang nanti, sama ada kita terjaga atau tertidur mati pada masa itu. Oleh yang demikian, hendaklah kamu saling menggalakkan dan meneguhkan, sebagaimana yang kamu lakukan sekarang. Saudara-saudaraku, kami menyeru kamu supaya menghormati orang yang berjerih payah dalam kalanganmu, memimpin dan menasihatimu dalam Tuhan. Layanilah mereka dengan sepenuh hormat dan kasihilah mereka kerana segala yang diusahakan oleh mereka. Hiduplah bersama-sama dalam aman damai. Saudara-saudaraku, kami menyeru kamu, berilah amaran kepada orang yang melanggar peraturan, tetapkan hati orang yang takut, tolong orang yang lemah, dan bersabar terhadap semua. Pastikan jangan sesiapa membalas kejahatan dengan kejahatan. Berusahalah ke arah kebaikan bagi dirimu dan semua orang.