1 Samuel 16:1, 6-13
1 Samuel 16:1 AVB
Berfirmanlah TUHAN kepada Samuel, “Berapa lama lagi engkau akan berdukacita atas Saul kerana Aku telah menolak dia sebagai raja atas Israel? Isilah tabung tandukmu dengan minyak dan pergilah. Aku mengutus engkau kepada seorang Betlehem bernama Isai, kerana Aku telah memilih bagi-Ku seorang raja daripada kalangan anaknya.”
1 Samuel 16:6-13 AVB
Pada waktu mereka datang, Samuel memandang Eliab dan berfikir, “Sesungguhnya, orang yang akan dilantik TUHAN sedang berdiri di hadapan-Nya.” Tetapi firman TUHAN kepada Samuel, “Janganlah pandang rupanya atau perawakannya yang tinggi, kerana Aku telah menolak dia. Allah tidak melihat sebagaimana manusia melihat. Manusia melihat penampilan lahiriah, tetapi TUHAN melihat hati.” Kemudian Isai memanggil Abinadab dan menyuruhnya lalu di hadapan Samuel. Tetapi Samuel berkata, “Yang ini pun tidak dipilih TUHAN.” Maka Isai menyuruh Syama lalu pula. Tetapi Samuel berkata, “Yang ini pun tidak dipilih TUHAN.” Isai menyuruh ketujuh-tujuh anaknya lalu di hadapan Samuel. Tetapi kata Samuel kepada Isai, “Mereka semua tidak dipilih TUHAN.” Tanya Samuel kepada Isai, “Inikah semua anakmu?” Jawabnya, “Masih ada yang bongsu, tetapi dia sedang menggembala kawanan domba.” Kata Samuel kepada Isai, “Suruhlah orang menjemput dia, kerana kita tidak akan duduk makan sebelum dia datang.” Maka Isai menyuruh orang menjemput anak bongsunya itu. Dia kemerah-merahan, matanya cantik, dan parasnya elok. Berfirmanlah TUHAN, “Segeralah lantik dia, kerana inilah dia.” Samuel mengambil tabung tanduknya yang berisi minyak itu dan melantik dia di depan abang-abangnya. Maka sejak hari itu dan seterusnya, Roh TUHAN turun atas Daud dengan penuh kuasa. Setelah itu, Samuel segera pulang ke Rama.