LUKAS 16:1-12

LUKAS 16:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Ada seorang kaya mempunyai seorang pekerja yang mengurus harta bendanya. Orang kaya itu diberitahu bahawa pengurus itu memboroskan wang majikannya. Lalu orang kaya itu memanggil pengurusnya dan berkata, ‘Apakah yang aku dengar tentang dirimu? Serahkan kira-kiramu yang lengkap bagi semua hartaku, kerana mulai sekarang kamu berhenti menjadi pengurus.’ Pengurus itu berfikir, ‘Apakah harus aku lakukan? Aku akan diberhentikan kerja. Aku tidak kuat mencangkul dan aku malu meminta sedekah. Aku tahu akan apa yang harus aku lakukan, supaya apabila aku diberhentikan kerja, aku mempunyai banyak kawan yang mahu menyambut aku ke rumah mereka.’ Lalu dia memanggil semua orang yang berhutang kepada majikannya. Dia bertanya kepada orang yang pertama, ‘Berapakah hutangmu kepada majikanku?’ Orang itu menjawab, ‘Seratus buah tempayan minyak zaitun.’ Pengurus itu berkata kepadanya, ‘Inilah kira-kiramu; duduklah dan tulislah lima puluh.’ Kemudian dia berkata kepada orang yang kedua, ‘Berapakah hutangmu?’ Orang itu menjawab, ‘Seribu pikul gandum.’ Pengurus itu berkata kepadanya, ‘Inilah kira-kiramu; tulislah lapan ratus.’ Majikan pengurus itu memuji kecerdikan pengurus yang tidak jujur ini, kerana orang dunia ini lebih bijak mengurus urusan mereka daripada orang yang hidup dalam terang.” Yesus berkata lagi, “Dengarlah! Gunakanlah kekayaan dunia ini untuk mendapat sahabat, supaya apabila kekayaan dunia ini lenyap, kamu akan disambut ke dalam tempat kediaman yang abadi. Sesiapa yang setia dalam perkara kecil, akan setia juga dalam perkara besar. Tetapi sesiapa yang tidak jujur dalam perkara kecil, tidak akan jujur dalam perkara besar. Jika kamu tidak menggunakan kekayaan dunia ini dengan setia, bagaimanakah kamu dapat menggunakan kekayaan sejati dengan baik? Jika kamu tidak setia kepada milik orang lain, siapakah mahu memberi kamu apa yang menjadi milik kamu?

LUKAS 16:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

DAN lagi kata Isa pula kapada murid muridnya, Maka adalah sa’orang kaya anu yang ada sa’orang juru kunchinya, maka iya itu tŭlah ditudohkan orang akan mŭmboruskan barang barang tuannya. Maka dipanggilnya akan dia, sŭrta katanya, Bagimanakah itu aku mŭnŭngar ini deri padamu? Brilah kira kira deri hal jawatanmu, kŭrna angkau ta’bulih lama lagi mŭnjadi juru kunchi. Sŭtlah itu maka bŭrfikirlah juru kunchi itu dalam hatinya, apakah aku handak buat, kŭrna tuanku tŭlah mŭngambil deri padaku akan jawatan ini; aku ta’bulih mŭnggali, minta sŭdŭkah pun aku malu. Maka tŭntulah aku handak bŭrbuat ini, maka apabila aku dipŭchatnya deripada jawatanku itu, bulihlah ditrima ulih orang orang akan daku kŭdalam rumah rumahnya. Maka dŭngan hal yang dŭmkian, dipanggilnyalah skalian hutang hutangan tuannya, maka katanya kapada yang pŭrtama, Brapakah hutangmu kapada tuanku? Maka katanya, Sa’ratus sukatan minyak. Maka katanya kapadanya, Ambillah suratmu, dudoklah lŭkas, tulislah lima puloh. Sŭtlah itu katanya kapada yang lain, Brapakah ada hutangmu? Maka jawabnya, Sa’ratus sukatan gandom. Maka katanya kapadanya, Ambillah suratmu, dan tulislah dŭlapan puloh. Maka tuannya itupun mŭmujilah akan juru kunchi helat itu, sŭbab iya tŭlah bŭrbuat dŭngan akal, kŭrna orang dunia ini dalam kŭturonannya itu tŭrlebih bŭrakal deripada anak anak trang. Maka aku bŭrkata kapadamu, Jadikanlah bagie dirimu sahabat sahabat kapada kŭkayaan yang tiada bŭnar, supaya apabila angkau rugi kŭlak, bulihlah angkau ditrima kŭdalam kŭdudokkan yang kŭkal. Adapun orang yang sŭtiawan dalam pŭrkara yang sŭdikit itu, maka iya itu kŭlak sŭtiawan juga dalam pŭrkara yang banyak; maka orang yang tiada bŭnar dalam pŭrkara yang sŭdikit itu, maka iya itu kŭlak tiada bŭnar kapada pŭrkara yang banyak. Maka sŭbab itu jikalau angkau tiada sŭtiawan akan kŭkayaan yang tiada bŭnar itu, siapakah kŭlak akan mŭnyŭrahkan kapadamu kŭkayaan yang bŭnar itu? Maka jikalau kiranya angkau tiada sŭtiawan kapada barang orang lain, siapakah kŭlak akan mŭmbri kapadamu yang angkau punya sŭndiri?

LUKAS 16:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Seorang kaya mempunyai seorang pengurus untuk harta bendanya. Dia diberitahu bahawa pengurus itu memboroskan wang tuannya. Tuan itu memanggil pengurus itu lalu berkata, ‘Apakah yang telah kudengar tentangmu? Serahkanlah kira-kira yang lengkap bagi semua hartaku kerana kamu tidak boleh menjadi pengurus lagi.’ Pengurus itu berkata kepada dirinya, ‘Apakah yang harus aku buat? Tuan aku hendak memecatku. Aku tidak kuat untuk mencangkul dan aku malu meminta sedekah. Aku tahu apa yang harus aku buat supaya apabila aku dipecat nanti daripada jawatan pengurus itu, aku ada ramai sahabat yang akan menerimaku ke rumah mereka.’ Dia pun memanggil semua orang yang berhutang kepada tuannya. Dia berkata kepada orang yang pertama, ‘Berapakah hutangmu kepada tuan aku?’ Orang itu menjawab, ‘Seratus tong minyak zaitun.’ Pengurus itu berkata, ‘Inilah kira-kiramu. Duduk dan tulislah lima puluh.’ Dia berkata kepada seorang yang lain, ‘Berapakah hutangmu pula?’ Orang itu menjawab, ‘Seratus pikul gandum.’ Pengurus itu berkata, ‘Inilah kira-kiramu. Tulislah lapan puluh.’ Tuan itu memuji pengurus yang tidak jujur itu kerana perbuatannya yang cerdik. Orang di dunia ini lebih cerdik menguruskan pekerjaan mereka daripada orang yang hidup dalam cahaya.” Aku berkata kepadamu supaya menggunakan kekayaan dunia untuk mendapat sahabat bagi dirimu. Apabila kekayaanmu lenyap, kamu akan disambut ke tempat kediaman yang kekal. Orang yang setia dalam perkara yang kecil akan setia juga dalam perkara yang besar; dan orang yang tidak setia dalam perkara yang kecil tidak akan setia dalam perkara yang besar. Oleh itu, jika kamu tidak setia dalam kekayaan dunia ini, siapakah yang akan mengamanahkan kekayaan yang sejati kepadamu? Dan jika kamu tidak setia dengan milik orang lain, siapakah pula yang akan memberimu apa yang menjadi milik kamu sendiri?

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami