Lukas 16:1-12

Lukas 16:1-12 AVB

Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Seorang kaya mempunyai seorang pengurus untuk harta bendanya. Dia diberitahu bahawa pengurus itu memboroskan wang tuannya. Tuan itu memanggil pengurus itu lalu berkata, ‘Apakah yang telah kudengar tentangmu? Serahkanlah kira-kira yang lengkap bagi semua hartaku kerana kamu tidak boleh menjadi pengurus lagi.’ Pengurus itu berkata kepada dirinya, ‘Apakah yang harus aku buat? Tuan aku hendak memecatku. Aku tidak kuat untuk mencangkul dan aku malu meminta sedekah. Aku tahu apa yang harus aku buat supaya apabila aku dipecat nanti daripada jawatan pengurus itu, aku ada ramai sahabat yang akan menerimaku ke rumah mereka.’ Dia pun memanggil semua orang yang berhutang kepada tuannya. Dia berkata kepada orang yang pertama, ‘Berapakah hutangmu kepada tuan aku?’ Orang itu menjawab, ‘Seratus tong minyak zaitun.’ Pengurus itu berkata, ‘Inilah kira-kiramu. Duduk dan tulislah lima puluh.’ Dia berkata kepada seorang yang lain, ‘Berapakah hutangmu pula?’ Orang itu menjawab, ‘Seratus pikul gandum.’ Pengurus itu berkata, ‘Inilah kira-kiramu. Tulislah lapan puluh.’ Tuan itu memuji pengurus yang tidak jujur itu kerana perbuatannya yang cerdik. Orang di dunia ini lebih cerdik menguruskan pekerjaan mereka daripada orang yang hidup dalam cahaya.” Aku berkata kepadamu supaya menggunakan kekayaan dunia untuk mendapat sahabat bagi dirimu. Apabila kekayaanmu lenyap, kamu akan disambut ke tempat kediaman yang kekal. Orang yang setia dalam perkara yang kecil akan setia juga dalam perkara yang besar; dan orang yang tidak setia dalam perkara yang kecil tidak akan setia dalam perkara yang besar. Oleh itu, jika kamu tidak setia dalam kekayaan dunia ini, siapakah yang akan mengamanahkan kekayaan yang sejati kepadamu? Dan jika kamu tidak setia dengan milik orang lain, siapakah pula yang akan memberimu apa yang menjadi milik kamu sendiri?

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami