LUKAS 16:1-12

LUKAS 16:1-12 BM

Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Ada seorang kaya mempunyai seorang pekerja yang mengurus harta bendanya. Orang kaya itu diberitahu bahawa pengurus itu memboroskan wang majikannya. Lalu orang kaya itu memanggil pengurusnya dan berkata, ‘Apakah yang aku dengar tentang dirimu? Serahkan kira-kiramu yang lengkap bagi semua hartaku, kerana mulai sekarang kamu berhenti menjadi pengurus.’ Pengurus itu berfikir, ‘Apakah harus aku lakukan? Aku akan diberhentikan kerja. Aku tidak kuat mencangkul dan aku malu meminta sedekah. Aku tahu akan apa yang harus aku lakukan, supaya apabila aku diberhentikan kerja, aku mempunyai banyak kawan yang mahu menyambut aku ke rumah mereka.’ Lalu dia memanggil semua orang yang berhutang kepada majikannya. Dia bertanya kepada orang yang pertama, ‘Berapakah hutangmu kepada majikanku?’ Orang itu menjawab, ‘Seratus buah tempayan minyak zaitun.’ Pengurus itu berkata kepadanya, ‘Inilah kira-kiramu; duduklah dan tulislah lima puluh.’ Kemudian dia berkata kepada orang yang kedua, ‘Berapakah hutangmu?’ Orang itu menjawab, ‘Seribu pikul gandum.’ Pengurus itu berkata kepadanya, ‘Inilah kira-kiramu; tulislah lapan ratus.’ Majikan pengurus itu memuji kecerdikan pengurus yang tidak jujur ini, kerana orang dunia ini lebih bijak mengurus urusan mereka daripada orang yang hidup dalam terang.” Yesus berkata lagi, “Dengarlah! Gunakanlah kekayaan dunia ini untuk mendapat sahabat, supaya apabila kekayaan dunia ini lenyap, kamu akan disambut ke dalam tempat kediaman yang abadi. Sesiapa yang setia dalam perkara kecil, akan setia juga dalam perkara besar. Tetapi sesiapa yang tidak jujur dalam perkara kecil, tidak akan jujur dalam perkara besar. Jika kamu tidak menggunakan kekayaan dunia ini dengan setia, bagaimanakah kamu dapat menggunakan kekayaan sejati dengan baik? Jika kamu tidak setia kepada milik orang lain, siapakah mahu memberi kamu apa yang menjadi milik kamu?

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami