Info Pelan

Doa yang BerbahayaSampel

Dangerous Prayers

HARI 5 DARIPADA 7

Patahkan Saya



Tidak salah berdoa untuk keselamatan dan berkat, tetapi bagaimana kalau anda inginkan lebih banyak lagi? Bagaimana kalau anda inginkan kuasa daripada Roh Kudus, kekuatan dari syurga, iman yang tidak bergoyah, keintiman sebenar dengan Bapa anda? 



Daripada meminta Allah untuk melindungi anda, memberikan anda lebih banyak lagi, dan memelihara kehidupan anda, anda boleh meminta Allah untuk mematahkan anda.



Apabila saya berfikir tentang mengucapkan doa ini, "Tuhan, patahkan saya," saya terkenang pengalaman Amy dan saya di kumpulan kecil kami dahulu. Pada suatu malam Rabu yang sejuk dan berangin kencang dalam bulan Januari, kami duduk di dalam sebuah bilik hangat yang selesa dengan tujuh atau lapan pasangan lain bercakap tentang doa yang berbahaya ini.



Kami bersetuju bahawa kami ingin mendoakannya—dan memaksudkannya—tetapi tidak dapat menafikan ketakutan kami akan akibatnya. Wanita pertama yang bercakap memandang serius terhadap kemungkinan itu tetapi mengakui pergelutannya. Seorang isteri yang penyayang dan ibu kepada empat orang anak, ia mengikuti Yesus secara setia sejak tahun dua di sekolah tinggi. Ia telah melayani dalam pelayanan kanak-kanak di gereja, memberikan persepuluhan secara taat, menjaga anak angkat, menghadiri pengajian Alkitab mingguan, dan kerap menjadi sukarelawan untuk berdoa dalam kumpulan.



Walau bagaimanapun, apabila berhadapan dengan pilihan meminta Allah untuk mematahkannya, ia menolak. "Maaf, saya harus berterus terang," katanya. "Saya tidak mahu meminta Allah untuk mematahkan saya. Saya takut akan apa yang akan berlaku. Saya seorang ibu dengan empat orang anak. Saya amat mengasihi mereka. Meminta Allah untuk mematahkan saya adalah doa yang sungguh menakutkan. Bagaimana kalau saya jatuh sakit atau mengalami kemurungan atau dipisahkan daripada keluarga saya?" 



Kebanyakan orang dalam kumpulan kecil itu mengangguk-angguk tanda bersetuju.



Namun, soalan saya tetap sama bagi kita hari ini: apakah yang kehilangan jika kita berpaut pada keselesaan kita?



Apakah kerugiannya jika kita terlalu komited untuk mengelakkan penderitaan dan ketidakselesaan?



Yesus berkata, "Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mengalami hidup yang sejati" (Mat 16:25). Yesus tidak menjemput kita untuk kehidupan yang selesa dan senang, tetapi untuk kehidupan yang melibatkan penyerahan dan pengorbanan. Keinginan terutama kita tidak harusnya turut kehendak kita, melainkan kehendak-Nya sahaja. Yesus menjemput kita untuk mematikan diri sendiri, supaya kita boleh hidup setiap saat, setiap hari—demi-Nya. Meninggalkan bilik tamu kita yang selamat dan doa yang berhati-hati demi mengetahui maksudnya dipatahkan demi orang lain.



Dengan bersikap berhati-hati, kita mengambil risiko terlepas sesuatu yang jauh lebih berharga daripada keyakinan dan keselesaan kita. Kita tidak menyedari berkat apa yang mungkin terletak di sebelah sana pematahan Allah.



Lukas berkata, "Kemudian Yesus mengambil roti. Setelah Dia mengucap syukur kepada Allah, Dia membahagi roti itu lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, 'Inilah tubuh-Ku, yang diberikan untuk kamu. Berbuatlah demikian untuk mengenang Aku'” (Luk 22:19). Hampir semua sarjana Alkitab bersetuju bahawa perintah Yesus untuk "berbuatlah demikian" memberikan orang percaya satu cara untuk mengingati, memuliakan, dan meraikan kematian dan kebangkitan-Nya. Namun, sesetengah orang percaya bahawa "berbuatlah demikian" Yesus merujuk kepada cara kita menjalankan kehidupan. Bagaimana kalau Yesus tidak bercakap tentang sesuatu adat yang kita lakukan di gereja sekali-sekala sahaja? Bagaimana kalau Dia juga menjemput kita untuk dipatahkan dan dicurahkan setiap hari? Bagaimana kalau kita memiliki keberanian, kegagahan, iman untuk berdoa, "Allah, patahkan saya"?



Kita tidak sahaja mengingati Yesus semasa Perjamuan Kudus di gereja. Kita mengingati Dia dalam cara kita menjalankan kehidupan harian kita. Disebabkan tubuh Yesus telah dipatahkan, disebabkan darah-Nya telah dicurahkan untuk kita, kita juga harus hidup setiap hari demi-Nya, dipatahkan dan dicurahkan. 



Ini mungkin tidak kedengaran menarik pada mulanya. Siapa yang ingin "dipatahkan" dan "dicurahkan"? Itu kedengaran sebaik-baiknya menyakitkan, dan seburuk-buruknya menyengasarakan. Akan tetapi, apabila kita memberikan diri, kita menemukan sukacita sebenar. Daripada mengejar kehendak kita, kita berserah kepada kehendak-Nya. Daripada mencuba untuk memenuhi kehidupan kita dengan segala sesuatu yang kita inginkan, kita mengosongkan kehidupan kita untuk mendatangkan perbezaan dalam kehidupan orang lain.



Keremukan sebenar di hadapan Allah bukanlah peristiwa sekali sahaja; ini merupakan keputusan harian. Paulus berkata, "Setiap hari aku menghadapi maut" (1 Kor 15:31). Apakah maksud ini? Setiap hari, ia memilih untuk menyalibkan keinginan dirinya supaya ia dapat hidup sepenuhnya demi keinginan Allah. Jika anda berani mengucapkan doa ini, bersiap sedialah. Bersiap sedia untuk mengenali Allah, dan dikenali Allah, dalam cara yang belum pernah dialami sebelum ini.



Anda boleh bersifat berhati-hati. Namun, gerak hati saya memberitahu saya bahawa anda inginkan lebih daripada itu. Saya memilih sesuatu yang berbeza. Saya ialah pengambil risiko yang dipenuhi iman dan mempertaruhkan segala sesuatu. Saya tidak mungkin menghina Allah dengan pemikiran kecil atau kehidupan berhati-hati. Jika ada berkat di sebelah sana keremukan, maka patahkanlah saya.


Hari 4Hari 6

Perihal Pelan

Dangerous Prayers

Adakah anda berasa letih dengan amalan berhati-hati dengan iman anda? Adakah anda bersedia untuk menghadapi ketakutan anda, membina iman anda, dan melepaskan potensi anda? Pelan Alkitab 7 hari daripada buku Pastor Craig ...

More

Kami berterima kasih kepada Pastor Craig Groeschel dan Life.Church kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari https://www.craiggroeschel.com/

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami