MAZMUR 71:15-24
MAZMUR 71:15-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku akan mengisahkan kebaikan-Mu; sepanjang hari aku akan menceritakan penyelamatan daripada-Mu, walaupun hal ini melampaui pengertianku. Aku akan memuji perbuatan-Mu yang perkasa, ya TUHAN Raja, aku akan mengisytiharkan kebaikan-Mu, kebaikan-Mu sahaja. Engkau telah mengajar aku sejak masa mudaku; sampai sekarang aku menceritakan perbuatan-Mu yang menakjubkan itu. Kini aku sudah tua dan rambutku pun beruban, jangan tinggalkan aku, ya Allah. Sertailah aku semasa aku mengisytiharkan kuasa dan kebesaran-Mu kepada semua keturunan yang akan datang. Kebaikan-Mu, ya Allah, memuncak ke langit. Engkau telah melakukan perkara yang besar-besar; Engkau tiada bandingnya! Engkau telah mendatangkan kesusahan dan penderitaan kepada diriku, tetapi Engkau akan memulihkan kekuatanku; Engkau akan menjauhkan aku dari kubur. Engkau akan membuat aku lebih terhormat; Engkau akan menghiburkan aku semula. Sesungguhnya aku akan memuji Engkau dengan kecapi; aku akan memuji kesetiaan-Mu, ya Allahku. Aku akan menyanyikan mazmur untuk-Mu dengan kecapi, ya Allah umat Israel, Allah Yang Suci. Aku akan bersorak ketika memainkan kecapi; aku akan menyanyi dengan segenap jiwaku, kerana Engkau telah menyelamatkan aku. Sepanjang hari aku akan mengisahkan kesetiaan-Mu, kerana mereka yang cuba mencelakakan aku telah dikalahkan dan dipermalukan.
MAZMUR 71:15-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lidahku akan menuturkan perbenaran-Mu, dan penyelamatan-Mu sepanjang hari, meski aku tidak dapat menduga batas-batasnya. Aku akan mengisytiharkan perbuatan-Mu, ya Tuhan ALLAH yang perkasa; aku akan menyebut perbenaran-Mu, yang hanya milik-Mu. Ya Allah, Engkau telah mengajarku sejak daripada usia mudaku, dan hingga hari ini aku tetap mengisytiharkan perbuatan-Mu yang menakjubkan. Kini aku sudah tua dan rambutku putih, Ya Allah, jangan tinggalkan aku, kuisytiharkan kuasa-Mu kepada orang zaman ini, kekuatan-Mu kepada semua keturunan yang akan datang. Perbenaran-Mu, ya Allah, mencecah langit, Engkau telah membuat perkara yang besar-besar. Ya Allah, siapa yang serupa dengan-Mu? Engkau yang telah memberiku penderitaan yang pedih, Engkau akan memulihkan aku; dan membawaku naik semula dari perut bumi. Engkau akan menambah kebesaranku dan melipurkan hatiku sepenuhnya. Dengan kecapi aku akan memuji-Mu bagi kesetiaan-Mu, ya Allahku; Untuk-Mu aku akan menyanyi sambil bermain kecapi, Ya Allah Israel, ya Allah Yang Maha Suci. Bibirku bergembira menyanyi untuk-Mu — begitu juga jiwaku yang telah Kauselamatkan. Lidahku akan menuturkan kebenaran-Mu sepanjang hari, kerana mereka telah dikelirukan dan mereka telah dimalukan, mereka yang cuba mencederakan aku.