MAZMUR 71

71
Doa Orang Tua
1Ya TUHAN, aku datang kepada-Mu untuk perlindungan;
jangan biarkan aku dipermalukan.
2Kerana Engkau adil, tolonglah aku dan bebaskanlah aku.
Dengarlah aku dan selamatkanlah aku!
3Jadilah perlindungan yang kukuh bagiku,
serta kubu yang kuat untuk melindungi aku;
Engkaulah penaung dan pembelaku.
4Ya Allahku, selamatkanlah aku daripada orang jahat,
daripada kuasa manusia yang tidak adil dan kejam.
5Ya TUHAN Raja, aku berharap kepada-Mu;
aku percaya kepada-Mu sejak masa mudaku.
6Aku bergantung kepada-Mu seumur hidupku;
sejak aku dilahirkan, Engkau melindungi aku.
Aku akan sentiasa memuji Engkau.
7Kehidupanku menjadi teladan kepada banyak orang,
kerana Engkau pembelaku yang kuat.
8Sepanjang hari aku memuji-Mu
dan mengisytiharkan kemuliaan-Mu.
9Janganlah tolak aku sekarang kerana aku tua;
janganlah tinggalkan aku sekarang kerana aku lemah.
10Musuhku hendak membunuh aku;
mereka berbincang dan bersekongkol menentang aku.
11Mereka berkata, “Allah telah meninggalkan dia;
marilah kita kejar dan tangkap dia,
kerana tiada sesiapa akan menyelamatkan dia!”
12Ya Allah, janganlah jauhi aku,
ya Allahku, cepatlah tolong aku!
13Biarlah mereka yang menyerang aku
dikalahkan serta dibinasakan!
Biarlah mereka yang cuba mencelakakan aku
dipermalukan dan dihinakan!
14Aku akan sentiasa berharap kepada-Mu,
dan semakin memuji-Mu.
15Aku akan mengisahkan kebaikan-Mu;
sepanjang hari aku akan menceritakan penyelamatan daripada-Mu,
walaupun hal ini melampaui pengertianku.
16Aku akan memuji perbuatan-Mu yang perkasa, ya TUHAN Raja,
aku akan mengisytiharkan kebaikan-Mu, kebaikan-Mu sahaja.
17Engkau telah mengajar aku sejak masa mudaku;
sampai sekarang aku menceritakan perbuatan-Mu yang menakjubkan itu.
18Kini aku sudah tua dan rambutku pun beruban,
jangan tinggalkan aku, ya Allah.
Sertailah aku semasa aku mengisytiharkan kuasa dan kebesaran-Mu
kepada semua keturunan yang akan datang.
19Kebaikan-Mu, ya Allah, memuncak ke langit.
Engkau telah melakukan perkara yang besar-besar;
Engkau tiada bandingnya!
20Engkau telah mendatangkan kesusahan dan penderitaan kepada diriku,
tetapi Engkau akan memulihkan kekuatanku;
Engkau akan menjauhkan aku dari kubur.
21Engkau akan membuat aku lebih terhormat;
Engkau akan menghiburkan aku semula.
22Sesungguhnya aku akan memuji Engkau dengan kecapi;
aku akan memuji kesetiaan-Mu, ya Allahku.
Aku akan menyanyikan mazmur untuk-Mu dengan kecapi,
ya Allah umat Israel,
Allah Yang Suci.
23Aku akan bersorak ketika memainkan kecapi;
aku akan menyanyi dengan segenap jiwaku,
kerana Engkau telah menyelamatkan aku.
24Sepanjang hari aku akan mengisahkan kesetiaan-Mu,
kerana mereka yang cuba mencelakakan aku
telah dikalahkan dan dipermalukan.

Terpilih Sekarang Ini:

MAZMUR 71: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami