Mazmur 71

71
Doa minta tolong.
1Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berlindung;
jangan biarkan aku menanggung malu.
2Selamatkanlah aku dalam perbenaran-Mu#71:2 Rangkai kata “Perbenaran-Mu” yang diterjemahkan drpd perkataan Ibrani, “tsedaqah” merangkumi maksud kehendak Tuhan serta sifat-Nya yang benar, baik dan adil. dan biar aku melepaskan diri;
dengarlah rayuanku, dan selamatkan aku.
3Jadilah batu pejal perlindunganku yang perkasa,
tempat aku bernaung setiap waktu;
Engkau telah memberikan perintah supaya aku diselamatkan,
kerana Engkaulah batu pejal dan kubuku.
4Selamatkanlah aku, ya Allahku, daripada tangan orang zalim,
daripada tangan orang durjana dan kejam.
5Kerana Engkaulah harapanku, ya Tuhan yang perkasa;
ya TUHAN, Engkaulah kepercayaanku sejak daripada usia mudaku.
6Kepada-Mu aku bersandar sejak kelahiran;
Engkaulah yang membawaku keluar daripada rahim ibuku.
Aku akan sentiasa memuji-Mu.
7Aku telah menimbulkan takjub orang ramai,
tetapi Engkau pelindungku yang perkasa.
8Biarlah aku sentiasa memuji-Mu,
dan mengisytiharkan kemuliaan-Mu sepanjang hari.
9Janganlah singkirkan aku dalam usia tua;
jangan tinggalkan aku ketika kekuatanku hilang.
10Kerana musuhku mencerca aku;
dan mereka yang mengendap untuk meragut nyawaku berpakat sama sendiri.
11Mereka berkata, “Allah telah meninggalkan dia;
buru dan tangkaplah dia,
kerana tiada siapa yang akan menyelamatkannya.”
12Ya Allah, janganlah jauh daripadaku; Ya Allahku, segeralah tolong aku.
13Biar mereka dicela dan dihina;
mereka yang cuba mencederakan aku akan dihina dan diaibkan.
14Aku akan sentiasa berharap;
dan akan lebih-lebih lagi memuji-Mu.
15Lidahku akan menuturkan perbenaran-Mu,
dan penyelamatan-Mu sepanjang hari,
meski aku tidak dapat menduga batas-batasnya.
16Aku akan mengisytiharkan perbuatan-Mu, ya Tuhan ALLAH yang perkasa;
aku akan menyebut perbenaran-Mu, yang hanya milik-Mu.
17Ya Allah, Engkau telah mengajarku sejak daripada usia mudaku,
dan hingga hari ini aku tetap mengisytiharkan perbuatan-Mu yang menakjubkan.
18Kini aku sudah tua dan rambutku putih,
Ya Allah, jangan tinggalkan aku,
kuisytiharkan kuasa-Mu kepada orang zaman ini,
kekuatan-Mu kepada semua keturunan yang akan datang.
19Perbenaran-Mu,#71:19 “Perbenaran-Mu” juga merangkumi maksud keadilan-Mu. ya Allah, mencecah langit,
Engkau telah membuat perkara yang besar-besar.
Ya Allah, siapa yang serupa dengan-Mu?
20Engkau yang telah memberiku penderitaan yang pedih,
Engkau akan memulihkan aku;
dan membawaku naik semula dari perut bumi.
21Engkau akan menambah kebesaranku
dan melipurkan hatiku sepenuhnya.
22Dengan kecapi aku akan memuji-Mu
bagi kesetiaan-Mu, ya Allahku;
Untuk-Mu aku akan menyanyi sambil bermain kecapi,
Ya Allah Israel, ya Allah Yang Maha Suci.
23Bibirku bergembira menyanyi untuk-Mu — begitu juga jiwaku yang telah Kauselamatkan.
24Lidahku akan menuturkan kebenaran-Mu sepanjang hari,
kerana mereka telah dikelirukan dan mereka telah dimalukan,
mereka yang cuba mencederakan aku.

Terpilih Sekarang Ini:

Mazmur 71: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami