AMSAL 4:1-9 - Compare All Versions
AMSAL 4:1-9 BM (Alkitab Berita Baik)
Hai anak-anak, dengarlah ajaran bapa kamu. Dengarlah baik-baik, supaya kamu menjadi arif. Hal yang aku ajarkan kepada kamu baik, oleh itu ingatlah ajaranku. Ketika aku masih kanak-kanak, sebagai anak lelaki tunggal, bapaku sentiasa mengajar aku. Katanya, “Ingatlah ajaranku dan jangan lupakannya. Lakukanlah perintahku supaya kamu hidup bahagia. Hendaklah kamu bijak dan cerdas. Jangan lupakan ataupun abaikan nasihatku. Jangan tinggalkan hikmat, maka hikmat akan melindungi kamu; cintailah hikmat, maka hikmat akan menjaga kamu agar kamu selamat. Perkara yang paling mustahak yang harus kamu usahakan adalah mendapat hikmat. Apa pun yang kamu kejar, yang terutama adalah mendapat pengertian. Cintailah hikmat, maka kamu akan ditinggikannya. Peluklah hikmat, maka kamu akan dimuliakannya. Hikmat akan menjadi mahkota kemegahanmu.”
AMSAL 4:1-9 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Hai anak-anakku, dengarlah didikan seorang ayah dan perhatikanlah, supaya engkau memperoleh pengertian. Jangan abaikan peraturanku kerana aku memberimu ajaran yang baik. Ketika aku masih kanak-kanak dan tinggal bersama ayahku, masih kecil, dan anak tunggal bagi ibuku, ayahku mengajarku, katanya, “Pegang teguh kata-kataku dalam hatimu. Patuhilah perintah-perintahku, maka engkau akan hidup. Perolehlah hikmah! Perolehlah pengertian! Jangan lupakan, dan jangan menyimpang daripada kata-kata mulutku. Jangan abaikan hikmah, maka hikmah akan memelihara kamu; kasihilah ia, maka ia akan menjaga kamu. Hikmah adalah yang paling utama. Perolehlah hikmah dan dengan segala pemerolehanmu itu, perolehlah pengertian. Junjung tinggi hikmah, maka hikmah akan meninggikanmu. Ia akan menjadikan kamu terhormat jika engkau mendakapnya. Ia akan meliliti kepalamu dengan karangan bunga yang indah, dan akan mengurniakan kepadamu mahkota kemuliaan.”