MATIUS 26:59-68 - Compare All Versions
MATIUS 26:59-68 BM (Alkitab Berita Baik)
Ketua-ketua imam dan anggota lain daripada Majlis Agama berusaha untuk mencari bukti-bukti palsu bagi mendakwa Yesus, supaya mereka boleh menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. Tetapi mereka tidak mendapat satu bukti pun, walaupun banyak yang memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus. Akhirnya dua orang tampil ke hadapan dan berkata, “Orang ini berkata, ‘Aku dapat merobohkan Rumah Tuhan dan dalam tiga hari Aku dapat membinanya semula.’ ” Lalu Imam Agung berdiri dan bertanya kepada Yesus, “Tidakkah kamu mahu menjawab tuduhan yang ditujukan kepadamu?” Tetapi Yesus diam sahaja. Sekali lagi Imam Agung berkata kepada-Nya, “Demi nama Allah yang hidup, beritahu kami! Adakah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah, iaitu Anak Allah?” Yesus menjawab, “Demikianlah katamu. Tetapi Aku berkata kepada kamu semua: Tidak lama lagi kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang di atas awan!” Lalu Imam Agung mengoyakkan jubahnya dan berkata, “Dia mengkufuri Allah! Kita tidak memerlukan saksi lagi. Kamu telah mendengar Dia mengkufuri Allah. Apakah keputusan kamu?” Mereka menjawab, “Dia bersalah dan mesti dihukum mati.” Mereka meludahi muka Yesus dan memukul Dia. Beberapa orang yang menampar Yesus berkata, “Hai Penyelamat yang diutus oleh Allah, tekalah siapa yang memukul kamu?”
MATIUS 26:59-68 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))
Maka imam imam yang bŭsar, dan orang tua tua, sŭrta sagala orang bichara pun mŭnchari saksi dusta handak mŭnyalahkan Isa, supaya dibunohnya akan dia. Tiada juga didapatinya sa’orang pun, bahkan, maka sungguh pun banyak saksi yang dusta tŭlah datang, tŭtapi tiada juga sa’orang tŭrpakie. Kŭmdian deripada itu, datang pula dua orang saksi dusta, katanya, Iya ini tŭlah bŭrkata, iya bulih mŭmŭchahkan ka’abah Allah, dan bulih pula mŭmbangunkan dia dalan tiga hari. Maka bangunlah imam yang bŭsar, lalu bŭrkata pada Isa, Suatu pun tiadakah angkau jawab, apakah dia itu yang ditudoh ulih saksi ini atasmu? Tŭtapi Isa mŭndiamkan dirinya. Maka sahut imam yang bŭsar itu, sŭrta bŭrkata, Bahwasanya aku mŭlŭtakkan ka’atasmu sumpah, dŭmi Allah yang hidop, supaya angkau mŭngatakan pada kami kalau kalau angkaukah Almasih anak Allah itu. Maka kata Isa padanya, Spŭrti katamu itu; tŭtapi aku bŭrkata padamu, bahwa kumdian deripada ini kŭlak kamu akan mŭliat Anak manusia itu dudok disŭblah kanan Allah yang maha kwasa, sŭrta datang diatas awan awan deri langit. Maka tŭtkala itu imam yang bŭsar itu mŭngoyakan pakieannya sŭndiri, katanya, Bahwasanya iya ini mŭmbuat fitnah akan Allah, apa gunanya saksi lagi, bahwa sasungguhnya skarang kamu sudah mŭnŭngar fitnahnya itu. Bagimanakah fikiran kamu? Maka disahut ulih marika itu katanya, Adapun hukumannya ini patutlah dibunoh. Tŭtkala itu maka diludahilah ulih marika itu muka Isa, sŭrta ditumboknya akan dia, dan ada yang mŭnampar dia, Katanya, Nabuatkanlah pada kami, hie Almasih, siapakah yang mŭmukol angkau?
MATIUS 26:59-68 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Ketua-ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari kesaksian terhadap Yesus supaya dapat membunuh-Nya. Tetapi mereka tidak berjaya sungguhpun ramai saksi palsu yang tampil. Akhirnya dua orang saksi tampil dengan kesaksian: “Orang ini telah berkata, ‘Aku dapat memusnahkan Bait Allah dan membinanya semula dalam tiga hari.’ ” Imam besar berdiri lalu berkata kepada Yesus, “Tidakkah Kamu mahu menjawab apa-apa? Apakah yang didakwakan oleh mereka ini terhadap-Mu?” Tetapi Yesus berdiam diri. Imam besar berkata kepada-Nya, “Demi Allah yang hidup, katakan kepada kami, adakah Kamu ini Kristus, Anak Allah?” Yesus berkata kepadanya, “Benarlah seperti katamu. Namun demikian, Aku berkata kepadamu, kemudian hari kelak kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa, dan datang dalam awan di langit.” Kemudian imam besar mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, “Dia telah melafazkan kata-kata kufur! Apa perlunya saksi lagi? Sekarang kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya! Bagaimana pendapatmu?” Mereka menjawab, “Dia patut dibunuh.” Setelah itu, mereka meludahi muka-Nya dan memukul-Nya. Ada yang menampar-Nya. Mereka berkata, “Bernubuatlah pada kami, hai Kristus! Siapa yang memukul-Mu?”