Matius 26:59-68
Matius 26:59-68 AVB
Ketua-ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari kesaksian terhadap Yesus supaya dapat membunuh-Nya. Tetapi mereka tidak berjaya sungguhpun ramai saksi palsu yang tampil. Akhirnya dua orang saksi tampil dengan kesaksian: “Orang ini telah berkata, ‘Aku dapat memusnahkan Bait Allah dan membinanya semula dalam tiga hari.’ ” Imam besar berdiri lalu berkata kepada Yesus, “Tidakkah Kamu mahu menjawab apa-apa? Apakah yang didakwakan oleh mereka ini terhadap-Mu?” Tetapi Yesus berdiam diri. Imam besar berkata kepada-Nya, “Demi Allah yang hidup, katakan kepada kami, adakah Kamu ini Kristus, Anak Allah?” Yesus berkata kepadanya, “Benarlah seperti katamu. Namun demikian, Aku berkata kepadamu, kemudian hari kelak kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa, dan datang dalam awan di langit.” Kemudian imam besar mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, “Dia telah melafazkan kata-kata kufur! Apa perlunya saksi lagi? Sekarang kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya! Bagaimana pendapatmu?” Mereka menjawab, “Dia patut dibunuh.” Setelah itu, mereka meludahi muka-Nya dan memukul-Nya. Ada yang menampar-Nya. Mereka berkata, “Bernubuatlah pada kami, hai Kristus! Siapa yang memukul-Mu?”


