IBRANI 3:7-19

IBRANI 3:7-19 Alkitab Berita Baik (BM)

Oleh itu, seperti kata Roh Allah, “Jika pada hari ini kamu mendengar suara Allah, janganlah berkeras kepala seperti nenek moyang kamu yang memberontak terhadap Allah, ketika mereka menguji Dia di padang gurun. ‘Di sana nenek moyang kamu menguji Aku dan mencubai Aku,’ firman Allah, ‘meskipun mereka telah melihat apa yang Aku lakukan selama empat puluh tahun.’ Itulah sebabnya Aku murka terhadap mereka dan berfirman, ‘Mereka sentiasa menderhaka, dan tidak mahu mentaati perintah-Ku.’ Aku murka dan bersumpah, ‘Mereka tidak akan masuk ke negeri itu untuk mendapat rehat bersama-sama Aku!’ ” Saudara-saudaraku, berhati-hatilah supaya tidak seorang pun di kalangan kamu yang hatinya begitu jahat dan tidak percaya sehingga meninggalkan Allah yang hidup. Oleh itu, supaya tidak seorang pun di kalangan kamu ditipu oleh dosa lalu menjadi keras kepala, setiap hari kamu mesti saling menasihati selama kita masih hidup dalam zaman yang disebut “Hari Ini” di dalam Alkitab. Kita semua rakan seperjuangan Kristus, sekiranya sampai akhir kita memegang teguh keyakinan yang kita miliki pada mulanya. Inilah yang tertulis di dalam Alkitab, “Jika pada hari ini kamu mendengar suara Allah, janganlah berkeras kepala seperti nenek moyang kamu, ketika mereka memberontak terhadap Allah.” Siapakah orang yang mendengar suara Allah lalu memberontak terhadap-Nya? Mereka semua yang dipimpin oleh Musa keluar dari Mesir. Terhadap siapakah Allah murka selama empat puluh tahun? Terhadap mereka yang berdosa, yang jatuh mati di padang gurun. Ketika Allah bersumpah, “Mereka tidak akan masuk ke negeri itu untuk mendapat rehat bersama-sama Aku” - siapakah yang dimaksudkan oleh-Nya? Mereka yang memberontak terhadap Allah. Sekarang kita faham bahawa mereka tidak dapat masuk ke negeri itu, kerana mereka tidak mahu percaya kepada Allah.

IBRANI 3:7-19 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Adapun sŭbab itu, spŭrti kata Roh Alkudus, Pada hari ini jikalau kamu handak mŭnŭngar suaranya, Maka janganlah kamu mŭngraskan hatimu, spŭrti pada masa katula, dan pada masa pŭrchobaan dalam padang tiah. Tŭtkala nenek moyangmu mŭnguji akan daku, dan mŭnchobai aku, dan mŭlihat pŭkŭrjaanku ampat puloh tahun lamanya. Maka sŭbab itu aku tŭlah morka akan katuronan itu, Sŭrta bŭrfŭrman, slalu marika itu bŭrsalah dalam hatinya; dan bŭlomlah lagi marika itu mŭngatahui akan jalanku; Maka sŭbab itu bŭrsumpahlah aku dŭngan morkaku, bahwa skali kali tiada marika itu akan masok kadalam tŭmpat pŭrhŭntianku. Maka ingatlah saudara saudara, asal jangan ada dalam barang sa’orang diantara kamu hati jahat yang tiada bŭriman, handak bŭrpaling deripada Allah yang hidop itu; Mŭlainkan brilah nasihat sa’orang akan sa’orang pada sahari hari slagi ada hari ini, asal janganlah barang sa’orang deripada kamu mŭnjadi kras hati ulih tipu dosa. Kŭrna kami adalah bŭrsukutuan dŭngan Almasih; jikalau kiranya kami pŭgang kapada yakin kami yang mula mula itu dŭngan tŭtapnya sampie kapada akhirnya; Slagi ada tŭrsŭbut, Pada hari inilah jikalau kamu handak mŭnŭngar swaranya, janganlah kraskan hatimu spŭrti pada masa katula. Kŭrna ada yang tŭlah mŭnŭngar, katula juga, akan tŭtapi bukannya sŭmua yang kluar deri nŭgri Masir mŭngikot Musa. Tŭtapi pada siapakah yang tŭlah dimorkainya ampat puloh tahun, bukankah pada marika itu yang tŭlah bŭrdosa, yang ampunya mayat tŭlah jatoh dalam padang tiah? Dan pada siapakah iya tŭlah bŭrsumpah, tiada marika itu dapat masok kadalam tŭmpat pŭrhŭntiannya, mŭlainkan kapada orang yang tiada pŭrchaya? Sŭbab itu kami lihat tiada marika itu dapat masok, ulih sŭbab tiada bŭriman.

IBRANI 3:7-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh itu, sebagaimana yang dikatakan oleh Roh Kudus: “Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya, jangan keraskan hatimu seperti dalam pemberontakan dahulu pada masa cubaan di gurun, ketika nenek moyangmu menguji-Ku, menduga-Ku, meskipun mereka telah melihat perbuatan-Ku selama empat puluh tahun. Oleh itu, Aku murka dengan keturunan itu, dan Aku berkata, ‘Hati mereka sentiasa sesat, dan mereka tidak mengenal jalan-Ku.’ Maka Aku bersumpah dalam kemurkaan-Ku, ‘Mereka tidak akan masuk ke dalam peristirahatan-Ku.’ ” Awaslah, saudara-saudara, jangan ada dalam diri seorang pun daripadamu hati durjana yang tidak beriman lalu berpaling daripada Allah yang hidup. Nasihatilah sesama sendiri setiap hari, selagi masih disebut “Hari ini”, jangan sampai sesiapa di antaramu menjadi keras hatinya akibat dosa yang memperdaya. Kita telah mendapat bahagian dalam Kristus jika kita berpegang kepada keyakinan kita yang kita miliki dari mula-mulanya hingga ke akhir, seperti mana dikatakan: “Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya, jangan keraskan hatimu seperti dalam pemberontakan dahulu.” Siapa yang memberontak setelah mendengar? Bukankah semua mereka yang telah dibawa oleh Musa keluar dari Mesir? Dengan siapakah Allah murka empat puluh tahun? Bukankah dengan mereka yang melakukan dosa, yang bergelimpangan mayat mereka di gurun? Dan kepada siapakah Allah bersumpah bahawa mereka tidak akan masuk ke dalam peristirahatan-Nya? Tak lain tak bukan kepada mereka yang tidak taat. Oleh itu, nyatalah kepada kita bahawa mereka tidak dapat masuk kerana tidak beriman.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami