Ibrani 3:7-19

Ibrani 3:7-19 AVB

Oleh itu, sebagaimana yang dikatakan oleh Roh Kudus: “Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya, jangan keraskan hatimu seperti dalam pemberontakan dahulu pada masa cubaan di gurun, ketika nenek moyangmu menguji-Ku, menduga-Ku, meskipun mereka telah melihat perbuatan-Ku selama empat puluh tahun. Oleh itu, Aku murka dengan keturunan itu, dan Aku berkata, ‘Hati mereka sentiasa sesat, dan mereka tidak mengenal jalan-Ku.’ Maka Aku bersumpah dalam kemurkaan-Ku, ‘Mereka tidak akan masuk ke dalam peristirahatan-Ku.’ ” Awaslah, saudara-saudara, jangan ada dalam diri seorang pun daripadamu hati durjana yang tidak beriman lalu berpaling daripada Allah yang hidup. Nasihatilah sesama sendiri setiap hari, selagi masih disebut “Hari ini”, jangan sampai sesiapa di antaramu menjadi keras hatinya akibat dosa yang memperdaya. Kita telah mendapat bahagian dalam Kristus jika kita berpegang kepada keyakinan kita yang kita miliki dari mula-mulanya hingga ke akhir, seperti mana dikatakan: “Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya, jangan keraskan hatimu seperti dalam pemberontakan dahulu.” Siapa yang memberontak setelah mendengar? Bukankah semua mereka yang telah dibawa oleh Musa keluar dari Mesir? Dengan siapakah Allah murka empat puluh tahun? Bukankah dengan mereka yang melakukan dosa, yang bergelimpangan mayat mereka di gurun? Dan kepada siapakah Allah bersumpah bahawa mereka tidak akan masuk ke dalam peristirahatan-Nya? Tak lain tak bukan kepada mereka yang tidak taat. Oleh itu, nyatalah kepada kita bahawa mereka tidak dapat masuk kerana tidak beriman.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami