KISAH RASUL-RASUL 7:1-8 - Compare All Versions

KISAH RASUL-RASUL 7:1-8 BM (Alkitab Berita Baik)

Kemudian Imam Agung bertanya kepada Stefanus, “Betulkah semua tuduhan itu?” Stefanus menjawab, “Saudara-saudara dan bapa-bapa! Dengarkan saya! Sebelum nenek moyang kita Abraham berpindah ke Haran, Allah yang mulia menampakkan diri kepada dia di Mesopotamia. Allah berfirman kepadanya, ‘Tinggalkanlah negerimu dan keluargamu. Pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu.’ Oleh itu Abraham meninggalkan negeri Kasdim lalu pergi tinggal di Haran. Setelah bapa Abraham meninggal, Allah memimpin Abraham berpindah ke negeri yang sekarang saudara-saudara dan bapa-bapa diami. Pada masa itu Allah tidak memberikan sedikit bahagian pun daripada negeri ini kepada Abraham untuk menjadi miliknya. Tetapi Allah berjanji bahawa Dia akan memberikan tanah itu kepada Abraham untuk menjadi miliknya dan milik keturunannya. Pada masa itu, Abraham tidak mempunyai anak. Tetapi Allah berfirman kepadanya, ‘Keturunanmu akan tinggal di negeri orang, dan mereka akan diperhamba serta ditindas selama empat ratus tahun. Tetapi Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba mereka. Mereka akan keluar dari negeri itu dan akan menyembah Aku di tempat ini.’ Allah membuat perjanjian itu dengan Abraham. Lalu Allah menyuruh Abraham bersunat sebagai tanda dia menerima perjanjian itu. Demikianlah Abraham menyunat Ishak, seminggu setelah Ishak dilahirkan; Ishak menyunat Yakub, anaknya dan Yakub menyunat dua belas orang anak lelakinya. Anak-anak Yakub menjadi bapa-bapa bangsa kita.

KISAH RASUL-RASUL 7:1-8 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))

MAKA kumdian bŭrkatalah imam yang bŭsar, Iyakah sagala pŭrkara itu dŭmkian? Maka jawab Istifanus, Hie kamu skalian, dan saudara, dan bapa bapa, dŭngarlah kiranya: bahwa Allah yang mŭmpunyai kŭmuliaan itu, tŭlah klihatan pada nenek moyang kami, iya itu Ibrahim, tŭtkala iya lagi dinŭgri Mesapotamia, iya itu dahulu deripada iya mŭngdiami nŭgri Kharan; Maka bŭfŭrmanlah Allah kapada Ibrahim, Kluarlah angkau deripada bŭnuamu, dan deripada klorgamu, marilah angkau kanŭgri yang akan kutunjokkan padamu. Maka tŭtkala itu kluarlah Ibrahim deripada bŭnua orang Kaldia, lalu dudoklah iya diKharan: hata maka kumdian deripada mati bapanya, maka dipindahkan Allah akan dia deri sana kabŭnua ini, ditŭmpat yang kami diam skarang. Maka tiada dibrinya padanya pusaka dalam nŭgri ini, mŭskipun mŭlŭtakkan kakinya jua pun tidak, akan tŭtapi dijanjikannya padanya handak dibrinya pŭrulihan itu kumdian bagie kŭturonannya kŭlak, sŭdang bŭlom lagi iya mŭnaroh anak. Maka bŭfŭrmanlah Allah dŭmkian ini, Bahwa kŭturonannya kŭlak akan mŭndudoki nŭgri yang asing, dan pŭrhambai orang akan dia, sŭrta diannyayakan ampat ratus tahun lamanya disana. Dan lagi pula bŭfŭrman Allah, Bahwa aku akan mŭnghukumkan bangsa itu yang mŭmpŭrhambkan marika itu, maka kumdian deripada itu kŭlak marika itu akan klŭar deripada bŭnua itu, dan bŭrbakti padaku ditŭmpat ini. Maka dikurniakannyalah padanya pŭrjanjian bŭrsunat; hata maka Ibrahim pun branakkanlah Isahak, lalu disunatkan akan dia pada hari yang kadŭlapan; maka Isahak branakkanlah Yakob, dan Yakob pun branakkanlah kadua blas datok bangsa ini.

KISAH RASUL-RASUL 7:1-8 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Kemudian imam besar bertanya kepada Stefanus, “Benarkah segala tuduhan ini?” Stefanus menjawab, “Bapa-bapa dan saudara-saudara! Dengarlah: Sebelum moyang kita Abraham berpindah ke Haran, Allah Yang Maha Mulia telah menampakkan diri kepadanya di Mesopotamia. Allah berfirman kepadanya, ‘Tinggalkanlah negerimu dan sanak saudaramu. Pergilah ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu.’ Abraham pun terus meninggalkan negeri Kasdim dan tinggal di Haran. Setelah bapa Abraham meninggal dunia, Allah memindahkan pula Abraham ke negeri tempat saudara-saudara dan bapa-bapa tinggal sekarang ini. Ketika itu Allah tidak memberikan warisan apa pun kepada Abraham sebagai miliknya, secebis tanah pun tidak. Namun begitu, Allah berjanji akan mengurniakan tanah ini kepada Abraham sebagai miliknya dan milik keturunannya, walaupun pada masa itu Abraham tidak mempunyai anak. Namun demikian, Allah berfirman kepadanya bahawa keturunannya akan menjadi pendatang di negeri orang dan akan diperhamba serta ditindas selama empat ratus tahun. ‘Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba mereka,’ Allah berfirman. ‘Setelah itu, mereka akan keluar dari negeri itu dan menyembah-Ku di sini.’ Kemudian Allah membuat perjanjian sunat dengan Abraham; maka Abraham mendapat anak lelaki bernama Ishak dan menyunatkannya pada hari kelapan; Ishak mendapat Yakub dan Yakub mendapat dua belas orang anak lelaki yang menjadi nenek moyang bangsa kita.