Kisah Para Rasul 7:1-8
Kisah Para Rasul 7:1-8 AVB
Kemudian imam besar bertanya kepada Stefanus, “Benarkah segala tuduhan ini?” Stefanus menjawab, “Bapa-bapa dan saudara-saudara! Dengarlah: Sebelum moyang kita Abraham berpindah ke Haran, Allah Yang Maha Mulia telah menampakkan diri kepadanya di Mesopotamia. Allah berfirman kepadanya, ‘Tinggalkanlah negerimu dan sanak saudaramu. Pergilah ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu.’ Abraham pun terus meninggalkan negeri Kasdim dan tinggal di Haran. Setelah bapa Abraham meninggal dunia, Allah memindahkan pula Abraham ke negeri tempat saudara-saudara dan bapa-bapa tinggal sekarang ini. Ketika itu Allah tidak memberikan warisan apa pun kepada Abraham sebagai miliknya, secebis tanah pun tidak. Namun begitu, Allah berjanji akan mengurniakan tanah ini kepada Abraham sebagai miliknya dan milik keturunannya, walaupun pada masa itu Abraham tidak mempunyai anak. Namun demikian, Allah berfirman kepadanya bahawa keturunannya akan menjadi pendatang di negeri orang dan akan diperhamba serta ditindas selama empat ratus tahun. ‘Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba mereka,’ Allah berfirman. ‘Setelah itu, mereka akan keluar dari negeri itu dan menyembah-Ku di sini.’ Kemudian Allah membuat perjanjian sunat dengan Abraham; maka Abraham mendapat anak lelaki bernama Ishak dan menyunatkannya pada hari kelapan; Ishak mendapat Yakub dan Yakub mendapat dua belas orang anak lelaki yang menjadi nenek moyang bangsa kita.

