KISAH RASUL-RASUL 27:26-44
KISAH RASUL-RASUL 27:26-44 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi kita akan terdampar di pantai suatu pulau.” Pada malam yang keempat belas, kami terapung-apung di Laut Tengah. Kira-kira tengah malam, anak kapal mengagak kapal sedang mendekati darat. Oleh itu mereka melempar batu duga untuk mengukur dalamnya laut. Ternyata tempat itu sedalam kira-kira empat puluh meter. Tidak lama kemudian mereka mengukur lagi dan mendapati laut di tempat itu sedalam tiga puluh meter. Mereka takut kapal akan terkandas pada batu karang. Oleh itu mereka menurunkan empat buah sauh dari buritan kapal, lalu berdoa agar fajar segera menyingsing. Anak kapal cuba melarikan diri dari kapal. Mereka menurunkan sekoci ke laut lalu berpura-pura hendak menurunkan sauh dari bahagian depan kapal. Tetapi Paulus berkata kepada pegawai tentera dan askar-askar di kapal itu, “Jika anak kapal tidak tinggal di kapal, saudara semua tidak boleh selamat.” Oleh itu askar-askar mengerat tali yang mengikat sekoci lalu membiarkan sekoci itu hanyut. Sebelum fajar menyingsing, Paulus memohon supaya mereka semua makan. Paulus berkata, “Sudah empat belas hari saudara-saudara menunggu-nunggu dalam keadaan tegang, dan selama itu tidak makan apa-apa. Oleh itu saya menggesa saudara-saudara supaya makan. Saudara semua memerlukan tenaga untuk menyelamatkan diri; saudara semua akan selamat dan tidak cedera.” Setelah itu Paulus mengambil roti, lalu mengucap syukur kepada Allah di hadapan mereka semua. Kemudian Paulus membahagi roti itu dan mula makan. Semangat mereka pulih, lalu mereka pun makan. Bilangan orang di kapal itu 276 orang. Setelah semua orang makan dengan secukupnya, mereka membuang muatan gandum ke laut, supaya kapal menjadi ringan. Apabila hari sudah siang, anak kapal melihat pantai, tetapi mereka tidak mengenal teluk itu. Jika dapat mereka bercadang hendak mendarat di situ. Oleh itu mereka memotong tali sauh dan membiarkan semua sauh tenggelam di laut. Mereka juga membuka tali yang mengikat kemudi. Kemudian mereka menaikkan layar di haluan kapal supaya angin meniup kapal itu ke hadapan dan menuju ke pantai. Tetapi kapal itu melanggar tebing pasir. Bahagian depan kapal itu terkandas lalu tidak dapat bergerak, sedangkan bahagian belakang kapal hancur dipukul ombak yang kuat. Askar-askar di kapal bercadang membunuh semua orang tahanan, supaya orang tahanan tidak dapat berenang ke darat lalu melarikan diri. Tetapi pegawai tentera itu mahu menyelamatkan Paulus, maka dia melarang mereka melakukan hal itu. Sebaliknya dia memerintahkan semua orang yang dapat berenang supaya terjun terlebih dahulu dan berenang ke pantai. Yang lain menyusul dengan bergayut pada papan atau pecahan kapal itu. Dengan cara demikian kami semua selamat sampai ke darat.
KISAH RASUL-RASUL 27:26-44 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Akan tŭtapi dapat tiada juga kita ini bias tŭrdampar kadada suatu pulau kŭlak. Adapun sŭtlah sampielah ampatblas hari lamanya bŭranyut anyutlah kŭsana kŭmari dalam laut Adria, maka sŭkira kira pada tŭngah malam, disangkakan ulih orang, bahwa kapal itu tŭlah dŭkatlah kapada suatu darat. Maka dibuanglah duga, didapati dua puloh dŭpa dalamnya, sŭtlah lalulah sŭdikit kahadapan, maka diduga pula, didapatinya limablas dŭpa dalamnya. Maka takotlah marika itu kalau kalau bias tŭrdampar kapada batu, maka dilabohkanlah ampat sauh deri buritan, sambil rindulah iya akan hari siang. Tŭtapi apabila khŭlasi kapal itu handak lari kluar deri dalam kapal sambil mŭnuronkan sampan kŭdalam laut, pura pura iya handak mŭngluarkan sauh deri haluan, Maka bŭrkatalah Paulus kapada pŭnghulu itu dan kapada sagala lashkar, Jikalau marika ini tiada tinggal dalam kapal, maka kamu tiada akan slamat. Maka tŭtkala itu dipotongkanlah ulih lashkar akan tali sampan itu, lalu dianyutkanlah dia kŭlaut. Maka tŭtkala hampirlah hari siang, lalu diajaklah ulih Paulus akan marika itu makan, katanya, Skarang kita tŭlah ampatblas hari lamanya sudah mŭnantikan dŭngan kŭlaparan, suatu pun tiada makan. Sŭbab itu aku mŭminta kapadamu, makanlah barang sŭdikit, supaya mŭndatangkan sehat bagiemu, kŭrna sa’lie rambut pun tiada gugor deri pada kŭpala barang sa’orang deri antara kamu. Maka sŭtlah sudah iya bŭrkata dŭmkian, lalu diambilnyalah roti, sŭrta mŭnguchap shukor kapada Allah dihadapan marika itu skalian, maka dipŭchahkannyalah akan dia, sŭrta dimakannya. Maka sŭtlah itu tŭtaplah hati skalian marika itu, lalu iya pun makanlah. Adapun kami skalian dalam kapal itu adalah dua ratus tujoh puloh anam orang banyaknya. Shahadan tŭlah kŭnyanglah marika itu, maka dianggalkannyalah kapalnya dŭngan mŭmbuangkan gandom kŭlaut. Maka apabila sianglah hari, tiada dikŭnal ulih marika itu tanah itu, tŭtapi dilihatnya ada suatu tŭlok yang bŭrpantie rata, maka fikirannya disanalah handak dikandaskannya kapalnya kalau bulih dŭngan bulihnya. Maka sŭtlah marika itu mŭmbongkar sauh, maka dianyutkanlah kapal itu kŭlaut, sŭrta dilŭpaskannya kŭmudi, lalu ditarikkannyalah layar agong supaya makan angin, maka ditujunyalah pantie itu. Maka masoklah kapada suatu tŭmpat dua harus bŭrtŭmu kapada kadua fiaknya, lalu tŭrkŭnalah kapal itu, maka tŭrjongketlah haluannya tŭtap tinggallah tiada bŭrgrak lagi, tŭtapi buritannya tŭlah pŭchahlah sŭbab kuat ombak itu. Maka bŭrbicharalah sagala lashkar itu handak mŭmbunoh akan sagala orang yang tŭrblunggu itu, supaya jangan barang sa’orang jua pun lari bŭrnang tŭrlŭpas dirinya. Tŭtapi pŭnghulu itu handak mŭmliharakan Paulus, ditŭgahkannyalah marika itu deri pada kahandaknya, lalu disurohkannyalah sagala orang yang tahu bŭrnang itu tŭrjon mula mula supaya sampie kŭdarat. Maka yang tinggal, ada yang sŭtŭngah diatas papan, dan sŭtŭngah atas pŭchah pŭchahan kapal, sahingga marika itu skalian pun tŭrlŭpaslah naik kŭdarat.
KISAH RASUL-RASUL 27:26-44 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tetapi tidak dapat dielakkan, kita akan terdampar di sebuah pulau.” Sampai ke malam yang keempat belas kami masih berhanyut dalam Laut Adria. Kira-kira tengah malam, anak kapal merasakan kami sudah hampir ke darat. Mereka membuang batu duga untuk mengukur dalamnya laut, didapatinya dua puluh depa; kemudian, apabila diduga lagi, didapatinya lima belas depa dalamnya. Mereka takut kalau-kalau terdampar pada batu karang, lalu mereka menurunkan empat sauh dari buritan kapal serta berdoa untuk tibanya hari siang. Ketika itu anak kapal hendak menyelamatkan diri sendiri. Mereka menurunkan sekoci ke laut dengan berpura-pura hendak menurunkan sauh di haluan kapal. Paulus pun berkata kepada ketua tentera dan askar-askar, “Jika mereka itu meninggalkan kapal, saudara-saudara tidak akan selamat.” Oleh itu askar mengerat tali sekoci dan membiarkannya hanyut. Sementara menunggu hari siang, Paulus meminta semua orang makan. Dia berkata, “Sekarang sudah empat belas hari saudara-saudara berlapar. Aku meminta kepada sekalian, makanlah sesuatu, kerana itulah yang akan membuat saudara-saudara selamat. Tiada seorang pun antara kita yang akan binasa sehelai rambutnya pun.” Setelah berkata demikian, Paulus mengambil roti lalu mengucapkan syukur kepada Allah di hadapan semua. Kemudian dia membahagi roti itu lalu makan. Masing-masing pun berasa bersemangat lagi lalu makan bersama-sama. Bilangan kami yang ada di dalam kapal itu dua ratus tujuh puluh enam jiwa. Setelah kenyang sekaliannya, kapal itu diringankan lagi dengan membuang gandum ke laut. Apabila hari siang, mereka melihat daratan yang tidak dikenali; di situ ada teluk yang berpantai rata lalu mereka bercadang hendak mengandaskan kapal itu ke situ. Mereka memotong tali sauh dan membiarkannya tenggelam di laut. Selepas itu, mereka melucutkan tali kemudi lalu menaikkan layar di haluan supaya angin meniup kapal itu menuju ke pantai. Kapal itu terlanggar busung pasir lalu terkandas haluannya, dan tidak dapat bergerak manakala buritannya pecah dipukul gelombang. Askar-askar mula berura-ura hendak membunuh semua orang tahanan supaya tiada seorang pun berenang melarikan diri. Tetapi ketua tentera itu hendak menyelamatkan Paulus lalu melarang askar-askarnya berbuat demikian. Dia menyuruh mereka yang tahu berenang terjun dahulu dan berenang ke darat. Yang lain berpegang kepada papan atau pecahan-pecahan kapal. Dengan demikian semuanya selamat naik ke darat.