Kisah Para Rasul 27:26-44
Kisah Para Rasul 27:26-44 AVB
Tetapi tidak dapat dielakkan, kita akan terdampar di sebuah pulau.” Sampai ke malam yang keempat belas kami masih berhanyut dalam Laut Adria. Kira-kira tengah malam, anak kapal merasakan kami sudah hampir ke darat. Mereka membuang batu duga untuk mengukur dalamnya laut, didapatinya dua puluh depa; kemudian, apabila diduga lagi, didapatinya lima belas depa dalamnya. Mereka takut kalau-kalau terdampar pada batu karang, lalu mereka menurunkan empat sauh dari buritan kapal serta berdoa untuk tibanya hari siang. Ketika itu anak kapal hendak menyelamatkan diri sendiri. Mereka menurunkan sekoci ke laut dengan berpura-pura hendak menurunkan sauh di haluan kapal. Paulus pun berkata kepada ketua tentera dan askar-askar, “Jika mereka itu meninggalkan kapal, saudara-saudara tidak akan selamat.” Oleh itu askar mengerat tali sekoci dan membiarkannya hanyut. Sementara menunggu hari siang, Paulus meminta semua orang makan. Dia berkata, “Sekarang sudah empat belas hari saudara-saudara berlapar. Aku meminta kepada sekalian, makanlah sesuatu, kerana itulah yang akan membuat saudara-saudara selamat. Tiada seorang pun antara kita yang akan binasa sehelai rambutnya pun.” Setelah berkata demikian, Paulus mengambil roti lalu mengucapkan syukur kepada Allah di hadapan semua. Kemudian dia membahagi roti itu lalu makan. Masing-masing pun berasa bersemangat lagi lalu makan bersama-sama. Bilangan kami yang ada di dalam kapal itu dua ratus tujuh puluh enam jiwa. Setelah kenyang sekaliannya, kapal itu diringankan lagi dengan membuang gandum ke laut. Apabila hari siang, mereka melihat daratan yang tidak dikenali; di situ ada teluk yang berpantai rata lalu mereka bercadang hendak mengandaskan kapal itu ke situ. Mereka memotong tali sauh dan membiarkannya tenggelam di laut. Selepas itu, mereka melucutkan tali kemudi lalu menaikkan layar di haluan supaya angin meniup kapal itu menuju ke pantai. Kapal itu terlanggar busung pasir lalu terkandas haluannya, dan tidak dapat bergerak manakala buritannya pecah dipukul gelombang. Askar-askar mula berura-ura hendak membunuh semua orang tahanan supaya tiada seorang pun berenang melarikan diri. Tetapi ketua tentera itu hendak menyelamatkan Paulus lalu melarang askar-askarnya berbuat demikian. Dia menyuruh mereka yang tahu berenang terjun dahulu dan berenang ke darat. Yang lain berpegang kepada papan atau pecahan-pecahan kapal. Dengan demikian semuanya selamat naik ke darat.

