ROMA 5:1-10

ROMA 5:1-10 BM

Sekarang kita sudah berbaik semula dengan Allah kerana kita percaya kepada-Nya. Oleh itu kita hidup dalam kedamaian dengan Allah melalui Yesus Kristus, Tuhan kita. Yesus membolehkan kita mengalami rahmat Allah, kerana kita percaya kepada Yesus dan sekarang kita menghayati rahmat itu. Oleh itu, kita membanggakan harapan untuk beroleh bahagian dalam kemuliaan Allah. Kita juga membanggakan penderitaan kita, kerana kita tahu bahawa penderitaan menghasilkan ketekunan. Ketekunan menyebabkan kita diperkenankan oleh Allah. Oleh itu kita mempunyai harapan. Harapan itu tidak akan mengecewakan kita, kerana Allah sudah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita. Allah melakukan hal itu dengan perantaraan Roh-Nya, yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita. Semasa kita dalam keadaan tidak berdaya, Kristus mati pada masa yang ditetapkan oleh Allah untuk menyelamatkan kita, orang yang jahat. Susahlah orang mahu mati bagi orang yang mentaati hukum agama. Mungkin ada orang yang bersedia mati bagi orang yang baik hati. Tetapi Allah telah menunjukkan betapa besarnya kasih-Nya kepada kita, kerana Kristus mati bagi kita semasa kita masih berdosa. Melalui kematian Kristus, kita sekarang berbaik semula dengan Allah. Oleh itu kita pasti akan diselamatkan oleh Kristus daripada kemurkaan Allah kelak. Dahulu kita bermusuhan dengan Allah, tetapi Allah menjadikan kita sahabat-sahabat-Nya melalui kematian Anak-Nya. Sekarang sebagai sahabat-sahabat Allah, kita pasti akan diselamatkan kerana Kristus hidup.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami