MAZMUR 69

69
Seruan Minta Tolong
1Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Oleh Daud.
2Selamatkanlah aku, ya Allah!
Air sudah naik ke leherku;
3aku hampir tenggelam di lumpur yang dalam,
dan tiada tempat berjejak;
aku berada di air yang dalam,
dan ombak pun hampir melemaskan aku.
4Aku letih berseru meminta pertolongan,
dan kerongkongku sakit.
Mataku pedih
menantikan pertolongan-Mu.
5 Orang yang membenci aku tanpa sebab,
lebih banyak daripada rambut pada kepalaku.
Musuhku memfitnah aku,
mereka kuat dan mahu membunuh aku.
Mereka memaksa aku menyerahkan barang-barang yang tidak aku curi.
6Ya Allah, dosa-dosaku tidak tersembunyi daripada-Mu,
Engkau tahu betapa bodohnya aku.
7Janganlah biarkan aku mendatangkan malu kepada orang yang berharap kepada-Mu,
ya TUHAN Raja Yang Maha Kuasa!
Janganlah biarkan aku mendatangkan aib kepada mereka yang menyembah Engkau,
ya Allah umat Israel!
8Kerana Engkaulah, aku dikeji,
dan diliputi perasaan malu.
9Aku bagaikan orang asing kepada saudara-saudaraku,
seperti orang luar kepada keluargaku.
10 Cintaku untuk Rumah-Mu berkobar-kobar seperti api;
hinaan yang ditujukan kepada-Mu menimpa diriku.
11Aku merendahkan diri dengan berpuasa,
tetapi manusia mencela aku.
12Ketika aku mengenakan pakaian perkabungan,
mereka mentertawakan aku.
13Aku menjadi buah mulut di tempat orang berkumpul,
dan nyanyian orang mabuk adalah tentang aku.
14Tetapi bagiku, aku akan berdoa kepada-Mu, ya TUHAN;
kabulkanlah doaku, ya Allah, menurut waktu-Mu.
Kabulkan doaku demi kasih-Mu yang besar,
kerana Engkau menepati janji untuk menyelamatkan aku.
15Janganlah biarkan aku tenggelam di dalam lumpur;
selamatkanlah aku daripada musuh-musuhku,
dan daripada air yang dalam.
16Janganlah biarkan banjir menghanyutkan aku;
janganlah biarkan aku tenggelam di dasar laut,
ataupun terbenam di dalam kubur.
17Kabulkanlah doaku, ya TUHAN, kerana Engkau baik dan tetap mengasihi;
dengan rahmat-Mu yang besar, berpalinglah kepadaku!
18Janganlah bersembunyi daripada hamba-Mu;
aku dalam kesusahan besar - cepatlah tolong aku!
19Marilah dan selamatkanlah aku;
bebaskanlah aku daripada musuhku.
20Engkau tahu bagaimana aku dikeji,
bagaimana aku dipermalukan dan dihina;
Engkau nampak semua musuhku.
21Kekejian telah mematahkan hatiku,
aku menjadi putus asa.
Aku mencari orang yang berbelas kasihan, tetapi tidak aku dapati;
aku mencari orang yang menguatkan hatiku, tetapi tidak aku jumpai.
22 Ketika aku lapar, mereka memberi aku racun sebagai makanan;
ketika aku dahaga, mereka memberi aku cuka sebagai minuman.
23Biarlah jamuan mereka memerangkap mereka;
biarlah perayaan mereka menjerat mereka.
24 Biarlah mata mereka buta;
biarlah tulang belakang mereka lemah.
25Biarlah kemurkaan-Mu menimpa mereka;
biarlah berang-Mu menangkap mereka.
26 Biarlah perkhemahan mereka terlantar;
biarlah semua penghuninya binasa.
27Mereka menganiaya orang yang telah Engkau hukum;
mereka menambahkan penderitaan orang yang Engkau lukakan.
28Catatlah semua dosa mereka;
jangan ampuni mereka.
29 Biarlah nama mereka dihapuskan dari kitab orang hidup,
dan tidak tercatat dalam daftar umat-Mu.
30Tetapi aku kesakitan dan putus asa;
angkatlah aku dan selamatkanlah aku, ya Allah!
31Aku akan memuji Allah dengan nyanyian;
aku akan mengagungkan Dia dengan ucapan kesyukuran.
32Hal ini akan lebih menggembirakan TUHAN daripada mempersembahkan korban lembu,
ataupun korban lembu jantan yang sudah cukup besar.
33Apabila orang yang ditindas melihat hal ini, mereka akan bergembira;
orang yang menyembah Allah akan bersemangat.
34TUHAN mendengar orang yang berkekurangan,
dan Dia tidak lupa akan umat-Nya yang dipenjarakan.
35Pujilah Allah, hai langit dan bumi,
laut dan segala makhluk di dalamnya!
36Dia akan menyelamatkan Yerusalem,
dan membina semula kota-kota Yehuda;
umat-Nya akan tinggal di sana;
negeri itu menjadi milik mereka.
37Keturunan hamba-hamba-Nya akan mewarisi negeri itu,
semua orang yang mengasihi-Nya akan tinggal di situ.

Terpilih Sekarang Ini:

MAZMUR 69: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami