MAZMUR 68

68
Lagu Kemenangan
1Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Lagu.
2 Allah bangkit dan mencerai-beraikan musuh-Nya.
Orang yang membenci Dia lari daripada-Nya.
3Allah mengusir mereka seperti angin meniup asap;
orang jahat binasa di hadirat Allah seperti lilin mencair di dalam api.
4Tetapi umat Allah bergirang dan bersukacita di hadirat-Nya;
mereka bersorak-sorak dengan gembira.
5Nyanyilah kepada Allah, pujilah nama-Nya;
sediakanlah jalan bagi Dia yang mengendarai awan.
Namanya TUHAN - bergiranglah di hadirat-Nya!
6Allah yang tinggal di tempat kediaman-Nya yang suci,
memelihara anak yatim dan melindungi balu.
7Dia memberikan keluarga kepada yang tidak ada saudara-mara,
dan membebaskan orang tawanan sehingga mereka bahagia;
tetapi pemberontak akan tinggal di tanah gersang.
8Ya Allah, ketika Engkau memimpin umat-Mu,
ketika Engkau menyeberangi gurun,
9 bumi bergoncang dan langit mencurahkan hujan,
kerana kedatangan-Mu, Allah yang berfirman di Sinai,
kedatangan Allah umat Israel.
10Engkau menurunkan hujan yang lebat,
serta memulihkan tanah yang gersang,
11lalu umat-Mu tinggal di sana;
demi kebaikan-Mu, Engkau memelihara orang papa.
12Tuhan memberikan perintah-Nya,
lalu banyak wanita membawa berita:
13“Raja-raja dan tentera mereka sudah lari!”
Kaum wanita di rumah membahagikan barang rampasan,
dan yang tinggal menjaga domba pada masa perang
14mendapat patung burung merpati yang diliputi perak,
yang sayapnya disaluti emas berkilauan.
15Allah Yang Maha Kuasa mencerai-beraikan raja-raja di sana
seperti salji turun di Gunung Zalmon.
16Betapa besarnya gunung Basan,
gunung yang mempunyai banyak puncak!
17Mengapakah dari puncakmu yang banyak itu,
engkau memandang dengan cemburu
terhadap Bukit Sion yang dipilih Allah untuk kediaman-Nya?
TUHAN akan tinggal di sana selama-lamanya.
18Dengan puluhan ribu kereta kuda-Nya yang besar,
Tuhan datang dari Sinai ke tempat yang suci itu.
19 Dia naik ke tempat yang tinggi,
membawa banyak orang tawanan bersama-sama-Nya,
dan menerima ufti daripada pemberontak.
TUHAN Allah akan tinggal di sana.
20Pujilah Tuhan, kerana Dialah yang menyelamatkan kita;
setiap hari Dia menanggung beban kita.
21Allah kita TUHAN yang menyelamatkan;
Dialah yang membebaskan kita daripada kematian.
22Allah tentu akan meremukkan kepala musuh-Nya,
mereka yang terus hidup dalam dosa.
23Tuhan berfirman, “Aku akan membawa musuh kamu kembali dari Basan,
Aku akan membawa mereka kembali dari lautan yang dalam,
24supaya kamu dapat mencuci kaki dalam darah mereka,
dan anjing kamu menjilat darah itu dengan sepuas-puasnya.”
25Perarakan kemenangan-Mu dilihat oleh semua orang, ya Allah,
perarakan Allahku, Rajaku, masuk ke tempat kediaman-Nya.
26Para penyanyi berjalan di hadapan, pemain muzik di belakang,
dan gadis pemain tamburin di antara mereka.
27“Pujilah Allah di tengah umat-Nya;
pujilah TUHAN, hai semua keturunan Yakub!”
28Benyamin, suku yang terkecil berjalan di hadapan,
kemudian ketua-ketua Yehuda bersama dengan kumpulan mereka,
diikuti oleh ketua-ketua Zebulon dan Naftali.
29Tunjukkanlah kuasa-Mu, ya Allah,
kuasa yang telah Engkau gunakan bagi kami.
30Di Rumah-Mu, di Yerusalem,
raja-raja mempersembahkan ufti kepada-Mu.
31Tegurlah Mesir, binatang liar itu yang di tengah-tengah gelagah;
tegurlah bangsa-bangsa, sekumpulan lembu jantan itu serta anak-anak mereka,
sehingga mereka semua bersujud dan mempersembahkan perak kepada-Mu.
Cerai-beraikan mereka yang gemar berperang!
32Duta-duta dari Mesir datang membawa gangsa;
orang Etiopia bergegas membawa ufti kepada Allah.
33Nyanyilah bagi Allah, hai kerajaan-kerajaan dunia,
nyanyikanlah pujian kepada Tuhan,
34kepada Dia yang melintasi langit purba.
Dengarlah Dia berseru dengan kuat.
35Isytiharkanlah kuasa Allah;
Dia memerintah seluruh Israel,
kuasa-Nya kelihatan di angkasa.
36Sungguh mengagumkan Allah kita
waktu Dia keluar dari tempat kediaman-Nya,
Allah umat Israel memberikan kuasa dan kekuatan kepada umat-Nya.
Pujilah Allah!

Terpilih Sekarang Ini:

MAZMUR 68: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami