Roma 8:10-28
Roma 8:10-28 AVB
Sebaliknya jika Kristus ada dalam dirimu, tubuhmu mati kerana dosa, namun rohmu hidup kerana perbenaran. Dan jika Roh Dia yang telah membangkitkan Yesus daripada kematian hidup dalam dirimu, maka Dia yang telah membangkitkan Kristus Yesus daripada kematian akan juga memberikan kehidupan kepada tubuhmu yang fana melalui Roh-Nya, yang hidup dalam dirimu. Dengan demikian, saudara-saudaraku, kita ada kewajipan tetapi bukan terhadap sifat tabii yang berdosa dan hidup menurut sifat tabii itu. Kerana jika kamu hidup menurut sifat tabii yang berdosa, kamu akan mati; tetapi jika dengan Roh itu kamu mematikan perbuatan-perbuatan salah tubuhmu, kamu akan hidup, kerana orang yang dipimpin oleh Roh Allah ialah anak-anak Allah. Kerana kamu bukanlah menerima Roh yang menyebabkan kamu diperhamba lagi oleh ketakutan, tetapi telah menerima Roh yang menjadikanmu anak Allah. Dan dengannya kita berseru, “Abba, Bapa.” Roh itu sendiri memberikan kesaksian dengan roh kita bahawa kita anak Allah. Jika kita anak, maka kita waris-waris Allah, waris bersama dengan Kristus, jika kita benar-benar berkongsi penderitaan-Nya supaya dapat berkongsi kemuliaan-Nya kelak. Aku menganggap bahawa penderitaan kita sekarang terlalu kecil untuk dibandingkan dengan kemuliaan yang akan dinyatakan kepada kita. Seluruh ciptaan menanti-nantikan saatnya Allah menyerlahkan anak-anak-Nya. Kerana seluruh ciptaan telah ditundukkan dalam kebuntuan, bukan dengan pilihannya sendiri, tetapi dengan kehendak Dia yang telah menundukkannya, dengan harapan bahawa ciptaan itu sendiri akan dibebaskan daripada belenggu kemusnahan dan dibawa ke dalam kebebasan penuh kemuliaan anak-anak Allah. Kita tahu bahawa sampai ke saat ini seluruh ciptaan mengerang bagaikan sakit melahirkan anak. Lebih daripada itu, kita sendiri yang mendapat buah pertama Roh Allah, turut mengerang dalam batin sambil menanti-nantikan pengangkatan sebagai anak, iaitu penebusan tubuh kita. Melalui harapan ini, kita telah diselamatkan. Tetapi harapan yang dilihat bukanlah harapan. Siapa yang mengharapkan apa yang sudah ada padanya? Sebaliknya, jika kita mengharapkan apa yang belum ada pada kita, maka kita menantikannya dengan sabar. Demikian jugalah, Roh menolong kita dalam kelemahan kita. Kita tidak tahu apa yang patut kita doakan, tetapi Roh itu sendiri berdoa syafaat untuk kita dengan rintihan yang tidak dapat disampaikan melalui kata-kata. Dan Dia yang menyoroti hati kita tahu akan fikiran Roh, kerana Roh berdoa syafaat bagi pihak orang yang salih menurut kehendak Allah. Dan kita tahu bahawa dalam semua hal Allah bekerja untuk kebaikan orang yang mengasihi-Nya, yang telah dipanggil menurut rancangan-Nya.






