Apakah Itu Kasih Sejati?

Meditasi Agama
Keinginan akan Kasih



Semua hati kita mengingini kasih sama ada kita sedar akannya atau tidak. Secara harfiah, kita dicipta untuk mengasihi. Allah ialah kasih. Adakah anda ingin mengetahui tentang kasih sejati Allah? Adakah anda ingin benar-benar mengasihi-Nya dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan segala kekuatanmu dan dengan seluruh akalmu?



Walau bagaimanapun, apakah itu kasih sejati? Perkataan ini mempunyai pelbagai maksud. Kita boleh katakan sekaligus, "Saya menyukai kopi. Saya mencintai pasangan saya. Saya mengasihi Yesus." Bagaimanakah kita mengetahui apakah sebenarnya kasih sejati? Bagaimana rupanya? Bagaimana rasanya? Adakah ia penting?



Kasih sejati adalah lebih daripada suatu rasa, perasaan, misi ataupun doktrin. Kasih sejati adalah keinginan sejati untuk kesejahteraan orang lain. Kasih sejati yang memuliakan Allah adalah matlamat kehidupan dan kewujudan gereja.



Sesetengah orang akan mengatakan bahawa misi adalah matlamat utama gereja: "Tugas tertinggi Gereja adalah penginjilan dunia. Misi gereja adalah misi" (Oswald J. Smith).



Yang lain akan menggambarkannya sebagai penyembahan: "Misi bukanlah matlamat utama gereja, tapi, penyembahan. Misi wujud kerana tiada penyembahan. Penyembahan adalah muktamad, tetapi misi tidak, kerana Allah adalah muktamad, bukannya manusia. Apabila zaman ini berakhir, dan jutaan orang tertebus yang tidak terkira banyaknya bersujud di hadapan takhta Allah, misi tidak akan ada lagi. Ia adalah suatu kebutuhan sementara. Namun, penyembahan tetap selamanya" (John Piper).



Saya mencadangkan kepada anda bahawa kasih adalah hal yang terutama dan bahawa misi dan penyembahan adalah hasil perkembangan kasih tersebut. Allah memerintah umat-Nya untuk mengasihi-Nya dengan sepenuh hati, jiwa, dan kekuatan mereka. Yesus mengulang ini, memberitahu kita bahawa perintah yang terutama dan yang terpenting adalah mengasihi Tuhan Allahmu dengan SEPENUH hatimu, dengan SEGENAP jiwamu dan dengan SELURUH akalmu. SEPENUH bermaksud SEPENUH. Sesudah itu, Dia memberitahu kita bahawa semua orang akan mengetahui bahawa kita ialah murid-Nya melalui kasih kita untuk satu sama lain. Paulus juga menjelaskan dalam suratnya kepada orang Korintus bahawa iman, harapan, dan kasih adalah sifat murni yang kekal, tetapi yang terutama antara ketiga-tiga ini adalah kasih. Menurut Allah, Yesus, dan Paulus, kasih adalah matlamat utama kita, maka, matlamat utama gereja.