Info Pelan

Mula Di Sini | Langkah Pertama Dengan YesusSampel

Start Here | First Steps With Jesus

HARI 8 DARIPADA 15

Markus 14-15 | Salib


Selamat kembali kawan-kawan. Perjalanan hari ini membawa kita ke Markus 14 dan persimpangan sejarah. Orang ramai di Yerusalem bertambah dengan ketibaan perayaan itu. Satu komplot sedang bergolak antara pemimpin Yahudi - satu komplot untuk menyingkirkan Yesus. Apabila ketegangan meningkat, Yesus membawa murid-murid-Nya ke sebuah bilik di tingkat atas untuk meraikan Paskah bersama-sama.


Semasa murid-murid duduk makan, Yesus mendedahkan bahawa seorang daripada mereka akan mengkhianati-Nya. Pengkhianatan adalah satu luka yang dalam, dan Yesus mengetahuinya. Pada waktu ini, Yudas duduk bersama dengan Yesus sebagai seorang sahabat. Dan dalam ayat 22, 


"Yesus mengambil roti dan mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, 'Ambillah dan makanlah, ini tubuh-Ku.' Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain, 'Inilah darah-Ku yang dicurahkan untuk banyak orang, darah yang mengesahkan perjanjian Allah.'"

Kita memanggilnya perjamuan kudus. Orang Kristian melakukannya di seluruh dunia sehingga hari ini, dengan roti untuk mengingati tubuh Yesus yang dihancurkan pada salib, dan wain untuk mengingati darah Yesus. Yesus menetapkan satu perjanjian yang baru - satu hubungan yang baru antara Allah dan manusia - dalam darah-Nya. Terdapat simbolisme dan maksud yang mendalam di sini, tetapi buat masa ini, adalah memadai untuk mengingati Yesus.


Masa berlalu. Yudas meninggalkan tempat itu dengan niat yang jahat. Mereka menghabiskan jamuan itu, Yesus berdoa, dan Dia membawa mereka ke sebuah taman berdekatan yang bernama Getsemani. 


Sekarang adalah tengah malam, tetapi bulan penuh menerangi kegelapan. Yesus membawa tiga orang murid ke tepi, dan mencurahkan isi hati-Nya. 


"Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya."

Dia meminta mereka untuk berdoa, sesudah itu, Dia meninggalkan mereka untuk berdoa bersendirian, dan memohon kepada Bapa "jika boleh, jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku!" 


Yesus kembali dan mendapati murid-murid-Nya sedang tidur. Dia membangunkan mereka, dan pergi berdoa lagi. Dia kembali. Mereka masih tidur. Namun, sekarang sudah tiba masa untuk bangun, dan Yudas datang dengan sekumpulan tentera. Pengkhianatan telah selesai. Mereka menangkap Yesus dan membawa-Nya untuk perbicaraan di hadapan imam agung.


Sekarang adalah hari Jumaat, sejurus sebelum matahari terbit. Yesus menghadap Kayafas, imam agung. Dalam ayat 56: 


"Banyak saksi memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus, tetapi kesaksian mereka saling bertentangan."

Tuduhan dilemparkan, tetapi dalam ayat 61, 


"Yesus diam sahaja dan tidak mahu berkata sepatah pun. Sekali lagi Imam Agung bertanya kepada-Nya, 'Kamukah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Maha Suci?' Yesus menjawab, 'Ya!'”

Terhadap jawapan ini, dan hanya kerana ini sahaja, Imam Agung itu menghukum Yesus kerana mengkufuri Allah - kerana Dia mendakwa diri ialah Allah.


Jadi, pemimpin Yahudi itu mengikat Yesus dan membawa Dia untuk menghadap gabenor Roma, Pontius Pilatus. Markus 15, ayat 2:


"Pilatus bertanya kepada Yesus, 'Betulkah kamu raja orang Yahudi?'"

"Yesus menjawab, 'Begitulah yang tuan katakan.'"

Sekali lagi tuduhan dilemparkan kepada Yesus, tetapi Dia diam sahaja. Sepanjang masa itu, Dia hanya menjawab soalan tentang siapa Dia. Ini adalah satu-satunya perkara yang penting. 


Tuduhan itu adalah tidak munasabah, dan Pilatus enggan menyalahkan orang yang tidak bersalah. Walau bagaimanapun, para imam mengancam akan memberontak. Dalam ayat 12, 


"Jika demikian, apakah yang kamu ingin aku lakukan terhadap orang yang kamu sebut raja orang Yahudi?...” 

“Salibkan dia!...” 

"Tetapi kejahatan apa yang sudah dilakukannya?..." 

Mereka berteriak lebih kuat lagi, “Salibkan dia!”

Pilatus mengalah. Yesus dipukul dengan kejam, dan dibawa ke istana diiringi sekumpulan tentera. Mereka mempermainkan Yesus dengan mahkota berduri, jubah ungu, dan kemudiannya memukul serta meludahi-Nya. Yesus memperlihatkan dengan jelas tentang siapa Dia, dan pengawal-pengawal tersebut juga memperlihatkan dengan jelas tentang fikiran mereka. 


Mereka menghentikan keseronokan sadis mereka, dan membawa Yesus ke Golgota. Dalam ayat 24:


"...mereka menyalibkan Dia, lalu membahagi-bahagikan pakaian-Nya di kalangan mereka dengan membuang undi untuk menentukan bahagian masing-masing. Mereka menyalibkan Dia pada pukul sembilan pagi."

Penyaliban adalah bukti kepada kekejaman manusia tanpa segan silu. Ia merupakan suatu hukuman yang dahsyat untuk suatu jenayah, dan orang Roma mahu semua orang untuk mengetahui sebab mengapa setiap orang itu disalibkan. Maka, mereka membuat tanda dengan "jenayah" pesalah itu. Tuduhan terhadap-Nya adalah: "Raja Orang Yahudi."


Penderitaan yang dahsyat berlanjutan selama tiga jam. Dalam ayat 33:


"Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap."

Melangkah dalam jejak sejarah, dan berdirilah dalam kegelapan itu. Dengarlah persendaan sinis, tangisan perempuan, dan keyakinan dingin pengawal. Di hadapan anda, ada seorang lelaki pada salib. Tanda di atas kepala-Nya ialah, "Raja Orang Yahudi."


Siapakah lelaki ini? 


Semasa anda berdiri di sana dan tertanya-tanya, ayat 37: 


"Lalu Yesus berteriak dan menghembuskan nafas yang terakhir. Tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Ketua askar yang berdiri di hadapan salib itu, melihat bagaimana Yesus meninggal. Oleh itu dia berkata, 'Memang benar orang ini Anak Allah!'”

Ia sudah selesai. Seorang ketua askar diutus oleh Pilatus untuk mengesahkan kematian itu dengan menusuk rusuk Yesus dengan tombak yang panjang. Tidak kira siapa Dia itu, Dia sudah mati. Apabila anda pergi meninggalkan tempat itu, seorang yang tidak dikenali menghentikan anda. "Menurut kamu, siapakah Dia?"


Apakah jawapan anda? Siapakah Yesus?


Renungan dan Perbincangan:



  • Pada pendapat anda, mengapakah Yesus hanya menjawab soalan tentang siapa Dia, semasa perbicaraan-Nya? Mengapakah itu adalah begitu penting?

  • Apakah maksud penyaliban Yesus kepada anda? Kongsikan cerita anda.

Hari 7Hari 9

Perihal Pelan

Start Here | First Steps With Jesus

Jika anda baru kepada Yesus, baru kepada Alkitab, atau sedang membantu kawan yang baru kepada kedua-duanya - Mula Di Sini. Sepanjang 15 hari akan datang, panduan audio selama 5 minit ini akan membawa anda langkah demi la...

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Through The Word kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://throughtheword.org

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami