ZEFANYA 3:1-8

ZEFANYA 3:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)

Malanglah Yerusalem, kota derhaka yang suka memberontak terhadap TUHAN dan yang menindas penduduknya sendiri. Kota itu tidak mengendahkan nasihat TUHAN, dan tidak pula menerima tegur ajar-Nya. Kota itu tidak berharap kepada TUHAN dan tidak meminta tolong kepada-Nya. Para pembesar kota itu seperti singa yang mengaum-aum. Hakim-hakimnya seperti serigala lapar yang sangat rakus sehingga sepotong tulang pun tiada yang ditinggalkan untuk esok harinya. Nabi-nabi kota itu tidak bertanggungjawab dan tidak dapat dipercayai; para imam menajiskan apa yang dikhaskan untuk TUHAN dan memutarbalikkan hukum Allah bagi kepentingan mereka sendiri. Tetapi TUHAN masih di kota itu; Dia sentiasa melakukan yang benar dan tidak pernah melakukan yang salah. Setiap pagi Dia pasti memberikan keadilan kepada umat-Nya. Namun orang yang tidak mengenal keadilan di kota itu tetap berbuat jahat tanpa mengenal malu. TUHAN berfirman, “Aku telah melenyapkan banyak bangsa; Aku menghancurkan kota-kota mereka, dan menjadikan tembok serta menara-menara mereka itu reruntuhan. Kota-kota mereka sunyi tanpa penghuni dan jalan-jalan pun lengang; tiada lagi orang yang tinggal di situ. Aku berfikir, ‘Sekarang sudah tentu umat-Ku menghormati Aku dan menerima tegur ajar-Ku. Pasti mereka selalu mengingat pengajaran yang Aku berikan kepada mereka.’ Tetapi nampaknya, mereka lebih giat lagi berbuat jahat daripada sebelumnya.” TUHAN berfirman, “Tetapi awas! Tunggu saja harinya Aku bangkit sebagai saksi untuk menuduh bangsa-bangsa. Aku telah mengambil keputusan untuk mengumpulkan bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan supaya Aku dapat menimpakan kemurkaan-Ku kepada mereka. Seluruh bumi akan dimusnahkan oleh api kemurkaan-Ku.

ZEFANYA 3:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Malangnya kota yang derhaka dan cemar, kota yang penuh penindasan! Dia tidak mahu mendengar teguran sesiapa pun, dan tidak mahu menerima didikan. Dia tidak percaya kepada TUHAN, dan tidak datang untuk mendekati Allahnya. Di tengah-tengahnya para pembesarnya seperti singa yang mengaum-aum, para hakimnya seperti serigala malam yang tidak meninggalkan sebarang sisa untuk keesokan harinya. Para nabinya berbuat sewenang-wenang serta khianat, para imamnya mencemari apa yang suci, dan memperkosa hukum. TUHAN yang hadir di tengah-tengahnya, sememangnya benar, Dia tidak melakukan kezaliman. Keadilan-Nya nyata setiap pagi, Dia tidak pernah lalai. Namun demikian, orang zalim tidak tahu malu. “Aku telah melenyapkan bangsa-bangsa, musnah sudah menara-menara penjuru mereka. Jalan-jalan mereka telah Kurosakkan, sehingga tiada lagi yang melintasinya. Kota-kota mereka telah dibinasakan, sehingga tidak ada lagi orang, tidak ada lagi penduduk. Firman-Ku, ‘Tentu sekarang engkau akan takut kepada-Ku dan akan menerima pengajaran. Dengan demikian tempat kediaman mereka tidak akan dilenyapkan selaras dengan segala yang Kutentukan atas mereka.’ Tetapi mereka semakin giat melakukan segala kemungkaran mereka. Oleh sebab itu, nantikanlah Aku!” demikianlah firman TUHAN. “Akan tiba hari Aku akan bangkit untuk menjarah. Telah Kuputuskan untuk mengumpulkan bangsa-bangsa dan menghimpun kerajaan-kerajaan demi mencurahkan murka-Ku ke atas mereka, kerana dalam seluruh amarah-Ku yang menyala-nyala. Seluruh bumi akan dimakan oleh keghairahan api cemburu-Ku.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami