Zefanya 3:1-8

Zefanya 3:1-8 AVB

Malangnya kota yang derhaka dan cemar, kota yang penuh penindasan! Dia tidak mahu mendengar teguran sesiapa pun, dan tidak mahu menerima didikan. Dia tidak percaya kepada TUHAN, dan tidak datang untuk mendekati Allahnya. Di tengah-tengahnya para pembesarnya seperti singa yang mengaum-aum, para hakimnya seperti serigala malam yang tidak meninggalkan sebarang sisa untuk keesokan harinya. Para nabinya berbuat sewenang-wenang serta khianat, para imamnya mencemari apa yang suci, dan memperkosa hukum. TUHAN yang hadir di tengah-tengahnya, sememangnya benar, Dia tidak melakukan kezaliman. Keadilan-Nya nyata setiap pagi, Dia tidak pernah lalai. Namun demikian, orang zalim tidak tahu malu. “Aku telah melenyapkan bangsa-bangsa, musnah sudah menara-menara penjuru mereka. Jalan-jalan mereka telah Kurosakkan, sehingga tiada lagi yang melintasinya. Kota-kota mereka telah dibinasakan, sehingga tidak ada lagi orang, tidak ada lagi penduduk. Firman-Ku, ‘Tentu sekarang engkau akan takut kepada-Ku dan akan menerima pengajaran. Dengan demikian tempat kediaman mereka tidak akan dilenyapkan selaras dengan segala yang Kutentukan atas mereka.’ Tetapi mereka semakin giat melakukan segala kemungkaran mereka. Oleh sebab itu, nantikanlah Aku!” demikianlah firman TUHAN. “Akan tiba hari Aku akan bangkit untuk menjarah. Telah Kuputuskan untuk mengumpulkan bangsa-bangsa dan menghimpun kerajaan-kerajaan demi mencurahkan murka-Ku ke atas mereka, kerana dalam seluruh amarah-Ku yang menyala-nyala. Seluruh bumi akan dimakan oleh keghairahan api cemburu-Ku.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Zefanya 3:1-8

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami