MAZMUR 98:1-9 - Compare All Versions

MAZMUR 98:1-9 BM (Alkitab Berita Baik)

Mazmur. Nyanyikanlah lagu baru untuk TUHAN; Dia telah melakukan perbuatan yang menakjubkan! Dengan kuasa dan kekuatan-Nya sendiri, Dia telah mencapai kemenangan. TUHAN mengumumkan kemenangan-Nya; Dia menyatakan keadilan-Nya kepada bangsa-bangsa. Dia menepati janji-Nya kepada orang Israel, umat-Nya dengan kasih dan kesetiaan kepada mereka. Semua bangsa di seluruh dunia telah melihat kemenangan Allah kita. Hai seluruh bumi, bernyanyilah untuk TUHAN dengan girang; pujilah Dia dengan lagu dan sorakan! Nyanyikanlah pujian untuk TUHAN, pujilah Dia dengan memetik kecapi. Tiuplah trompet dan sangkakala, bersoraklah di hadapan TUHAN, Raja kita! Berderulah, hai laut dan segala isimu, bernyanyilah, hai bumi dan semua yang mendiamimu. Bertepuk tanganlah, hai sungai-sungai; bersorak-sorailah di hadapan TUHAN, hai bukit-bukit, kerana TUHAN datang untuk memerintah bumi. Dia akan memerintah penduduk dunia dengan adil dan jujur.

MAZMUR 98:1-9 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Nyanyikan untuk TUHAN lagu yang baru, kerana Dia telah melakukan perkara yang menakjubkan; tangan kanan-Nya dan lengan-Nya yang suci telah membawa kemenangan untuk-Nya. TUHAN telah memberitahu tentang penyelamatan-Nya, dan perbenaran-Nya telah ditunjukkan-Nya kepada bangsa-bangsa. Dia telah ingat akan kasih-Nya dan kesetiaan-Nya kepada keturunan kaum Israel; semua pelosok bumi telah melihat penyelamatan Allah. Bersorak rianglah kepada TUHAN, seluruh bumi, menyanyilah, bergembiralah, dan nyanyikanlah pujian; menyanyilah kepada TUHAN dengan kecapi, dengan kecapi dan nyanyian mazmur, dengan nafiri dan sangkakala — bersorak rianglah ke hadirat TUHAN, Raja kita. Biarlah laut menderu, dan segala yang dalamnya, dunia dan semua penghuninya. Biarlah sungai-sungai bertepuk tangan, biarlah bukit-bukau berbahagia bersama-sama di hadapan TUHAN kerana Dia akan datang untuk menghakimi bumi. Dengan keadilan Dia akan menghakimi dunia dan kaum-kaum dengan saksama.