MAZMUR 89:38-52
MAZMUR 89:38-52 Alkitab Berita Baik (BM)
Kerajaannya akan tetap ada seperti bulan, saksi yang setia di langit.” Tetapi Engkau murka terhadap raja pilihan-Mu; Engkau telah meninggalkan dan menolak baginda. Engkau telah membatalkan perjanjian-Mu dengan hamba-Mu, dan membuang mahkotanya ke dalam lumpur. Engkau telah merobohkan tembok-tembok kotanya, dan membiarkan kubu-kubunya rosak. Semua orang yang lalu di sana mencuri hartanya; semua jirannya memperolok-olokkan baginda. Engkau memberikan kemenangan kepada musuhnya, dan menyebabkan mereka semua gembira. Engkau membuat senjatanya tidak berguna, dan membiarkan baginda kalah dalam perang. Engkau mengakhiri kuasanya yang gemilang, dan mencampakkan takhtanya ke tanah. Engkau menjadikan raja tua sebelum masanya, dan Engkau mempermalukan baginda. Ya TUHAN, sampai bilakah Engkau bersembunyi? Sampai bilakah kemurkaan-Mu berkobar seperti api? Ingatlah, betapa pendeknya usia manusia; ingatlah bahawa Engkau mencipta manusia sebagai makhluk fana. Siapakah yang boleh hidup dan tidak pernah mati? Bagaimanakah orang dapat mengelakkan kubur? Ya Tuhan, di manakah bukti tentang kasih-Mu dahulu? Di manakah janji-janji-Mu kepada Daud? Janganlah lupa bagaimana aku, hamba-Mu, telah dicela; bagaimana aku menanggung kutukan bangsa-bangsa. Musuh-Mu mencela raja pilihan-Mu, ya TUHAN! Mereka menghina raja ke mana sahaja baginda pergi.
MAZMUR 89:38-52 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tetapi Engkau telah menyingkirkan dan membenci, Engkau telah murka akan orang yang Kauurapi. Engkau telah membatalkan perjanjian dengan hamba-Mu; Engkau telah mencemarkan mahkotanya dengan menghumbankannya ke tanah. Engkau telah memecahkan semua pagarnya; Engkau telah meranapkan semua bentengnya. Semua orang yang lalu-lalang menyamun dia; dia menjadi celaan jiran-jirannya. Engkau telah mengangkat tinggi tangan kanan seterunya; Engkau telah menyebabkan semua musuhnya bergembira. Engkau telah membengkokkan hujung pedangnya dan tidak menyokongnya dalam pertempuran. Engkau telah meluputkan kemuliaannya dan melontarkan takhtanya ke tanah. Usia mudanya telah Kausingkatkan; Engkau telah memalukannya. Sela Betapa lama, ya TUHAN? Adakah Engkau akan menyembunyikan diri-Mu selama-lamanya? Adakah kemurkaan-Mu akan terus menyala seperti api? Ingatlah betapa singkat usiaku. Adakah Engkau telah mencipta anak-anak manusia untuk hidup sia-sia? Manusia manakah dapat hidup dan tidak menemui maut, dapatkah dia melepaskan nyawanya daripada kuasa kubur? Sela Ya Tuhan, di manakah kasih-Mu yang dahulu, yang telah Kaujanjikan kepada Daud dalam kesetiaan-Mu? Ingatlah, ya Tuhan, celaan terhadap hamba-hamba-Mu, betapa dadaku menanggung celaan daripada segala bangsa, musuh-Mu telah mencela, ya TUHAN, mereka telah mencela jejak langkah orang yang telah Kauurapi. Pujilah TUHAN selama-lamanya! Amin, Amin.