MAZMUR 89

89
Mazmur pada Masa Kesusahan Negara
1Sajak Etan, orang Ezrahi.
2Ya TUHAN, aku akan sentiasa menyanyikan kasih-Mu yang kekal;
aku akan memberitakan kesetiaan-Mu selama-lamanya.
3Aku tahu bahawa kasih-Mu kekal,
dan kesetiaan-Mu kukuh seperti langit.
4Engkau berfirman, “Aku telah membuat perjanjian dengan orang pilihan-Ku;
Aku telah berjanji kepada Daud, hamba-Ku:
5 ‘Aku akan mempertahankan takhtamu selama-lamanya,
seorang keturunanmu akan sentiasa menjadi raja.’ ”
6Semua makhluk syurga memuji perbuatan-Mu yang ajaib,
dan menyanyikan kesetiaan-Mu, ya TUHAN.
7Tiada sesiapa di langit yang seperti Engkau, ya TUHAN;
tiada makhluk syurga yang setanding dengan Engkau.
8Engkau dihormati di sidang makhluk suci,
dan sangat ditakuti oleh semua yang di sekeliling-Mu.
9Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, tiada yang berkuasa seperti Engkau;
Engkau setia dalam segala hal, ya TUHAN.
10Engkau memerintah laut yang bergelora,
Engkau menenangkan ombak yang melambung hebat.
11Engkau meremukkan dan membunuh Rahab, makhluk raksasa itu,
dan Engkau mengalahkan musuh-Mu dengan kekuatan-Mu.
12Bumi dan langit milik-Mu,
dunia dan segala isinya ciptaan-Mu;
13Engkau mencipta utara dan selatan;
Gunung Tabor dan Gunung Hermon bersorak-sorai memuji-Mu.
14Betapa besarnya kuasa-Mu,
dan betapa hebatnya kekuatan-Mu!
15Kerajaan-Mu berasaskan hukum dan keadilan;
kasih dan kesetiaan terdapat pada segala perbuatan-Mu.
16Berbahagialah orang yang menyembah Engkau dengan nyanyian,
orang yang hidup dalam cahaya hadirat-Mu, TUHAN.
17Sepanjang hari mereka bergembira,
dan memuji Engkau kerana kebaikan-Mu.
18Engkau memberi kami kemenangan yang besar;
demi kebaikan-Mu, Engkau membuat kami berjaya.
19Engkau, TUHAN memilih pelindung kami;
Engkau, Allah Yang Maha Suci, Allah umat Israel memberi kami raja.
Janji Allah kepada Daud
20Dahulu kala dalam suatu penglihatan,
Engkau berfirman kepada hamba-hamba-Mu yang setia,
“Aku telah menolong seorang pahlawan;
Aku telah memberikan takhta kepada seorang yang Kupilih di kalangan rakyat.
21 Aku telah menemukan hamba-Ku, Daud dan menjadikannya raja,
dan Aku menuangi dia dengan minyak upacara.
22Kekuatan-Ku sentiasa bersama-sama dia,
kuasa-Ku akan menguatkan dia.
23Musuh-musuhnya tidak akan dapat menewaskan dia,
orang jahat tidak akan dapat mengalahkan dia.
24Aku akan menghancurkan lawannya,
dan membunuh semua yang membenci dia.
25Aku akan sentiasa mengasihi dia dan setia kepadanya;
Aku akan selalu memberikan kejayaan kepadanya.
26Aku akan meluaskan kerajaannya
dari Laut Tengah sampai ke Sungai Efrat.
27Dia akan berkata kepada-Ku,
‘Engkaulah Bapaku dan Allahku;
Engkaulah pelindung dan penyelamatku.’
28 Aku akan menjadikan dia putera-Ku yang sulung,
dan menjadikan dia raja yang teragung di bumi.
29Aku akan tetap mengasihinya,
dan perjanjian-Ku dengan dia akan kekal selama-lamanya.
30Seorang keturunannya akan bertakhta,
dan kerajaannya akan kukuh seperti langit.
31Tetapi jika keturunannya melanggar hukum-Ku,
dan tidak hidup menurut peraturan-Ku;
32jika mereka mensia-siakan arahan-Ku,
dan mengabaikan perintah-Ku,
33Aku akan menghukum mereka kerana dosa mereka,
dan menyebabkan mereka menderita kerana kesalahan mereka.
34Tetapi Aku akan terus mengasihi Daud,
Aku akan terus menunaikan janji-Ku kepadanya.
35Aku tidak akan membatalkan perjanjian-Ku dengan dia,
ataupun menarik kembali sebarang janji yang Aku buat dengannya.
36Aku berjanji sekali sahaja untuk selama-lamanya dengan nama-Ku yang suci;
Aku tidak akan berdusta kepada Daud.
37Dia akan sentiasa mempunyai keturunan,
dan Aku akan memelihara kerajaannya selama matahari ada.
38Kerajaannya akan tetap ada seperti bulan,
saksi yang setia di langit.”
Ratapan kerana Kekalahan Raja
39Tetapi Engkau murka terhadap raja pilihan-Mu;
Engkau telah meninggalkan dan menolak baginda.
40Engkau telah membatalkan perjanjian-Mu dengan hamba-Mu,
dan membuang mahkotanya ke dalam lumpur.
41Engkau telah merobohkan tembok-tembok kotanya,
dan membiarkan kubu-kubunya rosak.
42Semua orang yang lalu di sana mencuri hartanya;
semua jirannya memperolok-olokkan baginda.
43Engkau memberikan kemenangan kepada musuhnya,
dan menyebabkan mereka semua gembira.
44Engkau membuat senjatanya tidak berguna,
dan membiarkan baginda kalah dalam perang.
45Engkau mengakhiri kuasanya yang gemilang,
dan mencampakkan takhtanya ke tanah.
46Engkau menjadikan raja tua sebelum masanya,
dan Engkau mempermalukan baginda.
Doa Minta Pembebasan
47Ya TUHAN, sampai bilakah Engkau bersembunyi?
Sampai bilakah kemurkaan-Mu berkobar seperti api?
48Ingatlah, betapa pendeknya usia manusia;
ingatlah bahawa Engkau mencipta manusia sebagai makhluk fana.
49Siapakah yang boleh hidup dan tidak pernah mati?
Bagaimanakah orang dapat mengelakkan kubur?
50Ya Tuhan, di manakah bukti tentang kasih-Mu dahulu?
Di manakah janji-janji-Mu kepada Daud?
51Janganlah lupa bagaimana aku, hamba-Mu, telah dicela;
bagaimana aku menanggung kutukan bangsa-bangsa.
52Musuh-Mu mencela raja pilihan-Mu, ya TUHAN!
Mereka menghina raja ke mana sahaja baginda pergi.
53Pujilah TUHAN selama-lamanya!
Amin! Amin!

Terpilih Sekarang Ini:

MAZMUR 89: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami