MAZMUR 85:1-13
MAZMUR 85:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Mazmur puak Korah. Ya TUHAN, Engkau berbelas kasihan terhadap negeri-Mu; Engkau telah menjadikan Israel makmur semula. Engkau telah mengampunkan dosa umat-Mu dan memaafkan segala kesalahan mereka. Engkau tidak murka lagi terhadap mereka, dan telah menahan kemurkaan-Mu yang menyala-nyala. Pulihkanlah kami, ya Allah penyelamat kami, jangan murka lagi kepada kami. Adakah Engkau akan murka kepada kami selama-lamanya? Adakah kemurkaan-Mu tidak akan padam? Kuatkanlah kami semula, lalu kami, umat-Mu akan memuji Engkau. Tunjukkanlah bahawa Engkau tetap mengasihi kami, tolonglah dan selamatkanlah kami, ya TUHAN. Aku mendengar apa yang difirmankan TUHAN Allah; Dia menjanjikan kesejahteraan kepada kita, umat-Nya, jika kita tidak kembali berbuat dosa. Pasti Dia akan menyelamatkan orang yang menghormati Dia, supaya Allah yang agung tinggal di negeri kita. Kasih dan kesetiaan akan bertemu; keadilan dan kesejahteraan akan berdampingan. Kesetiaan manusia akan naik dari bumi, dan keadilan Allah akan menjenguk dari syurga. TUHAN akan menjadikan kita makmur, dan tanah kita akan mengeluarkan hasil yang banyak.
MAZMUR 85:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN, Engkau telah meredai tanah-Mu; Engkau telah membawa Yakub pulang daripada tawanan. Engkau telah mengampunkan dosa umat-Mu; Engkau telah menghapuskan semua dosa mereka. Sela Engkau telah menarik balik segala kemurkaan-Mu; Engkau telah berpaling daripada nyala kemarahan-Mu. Pulihkanlah kami, ya Allah Penyelamat kami, dan padamkanlah kemarahan-Mu terhadap kami. Akan marahkah Engkau kepada kami selama-lamanya? Akan Kauteruskankah kemarahan-Mu turun-temurun? Tidakkah Engkau mahu memulihkan kami, supaya umat-Mu dapat bergembira kerana-Mu? Tunjukkanlah kasih setia-Mu kepada kami, ya TUHAN, dan kurniai kami penyelamatan-Mu. Aku akan mendengar firman Allah, TUHAN; kerana Dia akan melafazkan sejahtera kepada umat-Nya dan orang warak-Nya — tetapi janganlah mereka kembali kepada kebodohan mereka. Sesungguhnya, penyelamatan-Nya dekat kepada mereka yang takut kepada-Nya, supaya kemuliaan menetap di tanah kita. Kasih sayang dan kesetiaan telah bertemu; perbenaran dan sejahtera telah berdakapan. Kesetiaan akan muncul dari bumi, dan perbenaran akan memandang ke bawah dari syurga. Ya, TUHAN akan memberikan apa yang baik, dan tanah kita akan bertambah makmur. Perbenaran akan berjalan di hadapan-Nya dan menjadikan jejak langkah-Nya jalan untuk kita turuti.