MAZMUR 50:1-6 - Compare All Versions

MAZMUR 50:1-6 BM (Alkitab Berita Baik)

Mazmur Asaf. TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa berfirman; Dia berseru kepada seluruh bumi dari timur sampai ke barat. Dari Sion, kota yang terindah, Allah bersinar seperti matahari. Apabila Allah kita datang, Dia tidak diam; api yang bernyala-nyala mendahului Dia, ribut yang sangat kencang mengelilingi-Nya. Dia menyuruh syurga dan bumi menjadi saksi, untuk melihat Dia menghakimi umat-Nya. Dia berfirman, “Himpunkanlah umat-Ku yang setia, yang telah mengikat perjanjian dengan Aku dan mengukuhkannya dengan mempersembahkan korban.” Langit mengisytiharkan keadilan Allah, kerana Allah itu hakim.

MAZMUR 50:1-6 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Allah, TUHAN Yang Maha Kuasa, telah berfirman dan berseru kepada bumi daripada terbitnya hingga terbenamnya matahari. Dari Sion, puncak keindahan, Allah akan memancarkan cahaya-Nya. Allah kita, akan datang dan tidak akan berdiam diri; api yang membakar mendahului-Nya, ribut yang kencang mengelilingi-Nya. Dia akan berseru kepada langit dari takhta-Nya, dan kepada bumi, supaya menyaksikan Dia menghakimi umat-Nya: “Himpunkan umat-Ku yang warak di hadapan-Ku, mereka yang telah mengikat perjanjian dengan-Ku dan meneguhkannya dengan korban.” Langit mengisytiharkan keadilan-Nya, kerana Allah itu hakim. Sela