MAZMUR 50

50
Ibadat yang Sejati
1Mazmur Asaf.
TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa berfirman;
Dia berseru kepada seluruh bumi dari timur sampai ke barat.
2Dari Sion, kota yang terindah,
Allah bersinar seperti matahari.
3Apabila Allah kita datang, Dia tidak diam;
api yang bernyala-nyala mendahului Dia,
ribut yang sangat kencang mengelilingi-Nya.
4Dia menyuruh syurga dan bumi menjadi saksi,
untuk melihat Dia menghakimi umat-Nya.
5Dia berfirman, “Himpunkanlah umat-Ku yang setia,
yang telah mengikat perjanjian dengan Aku
dan mengukuhkannya dengan mempersembahkan korban.”
6Langit mengisytiharkan keadilan Allah,
kerana Allah itu hakim.
7“Dengarlah, hai umat-Ku, Aku akan berfirman;
Aku akan menyalahkan kamu, hai Israel.
Akulah Allah, Allah kamu.
8Aku tidak menyalahkan kamu kerana persembahan kamu,
dan korban untuk menyenangkan hati-Ku yang selalu kamu persembahkan.
9Aku tidak memerlukan lembu jantan dari ladang kamu,
ataupun kambing daripada ternakan kamu,
10kerana haiwan di hutan milik-Ku,
dan juga lembu di atas ribuan bukit.
11Semua burung liar kepunyaan-Ku,
juga semua makhluk hidup di padang.
12Jika Aku lapar, Aku tidak minta makanan daripada kamu,
kerana dunia serta segala isinya milik-Ku.
13Adakah Aku makan daging lembu jantan,
ataupun minum darah kambing?
14Persembahkanlah ucapan syukur sebagai korban kepada Allah,
berikanlah segala persembahan yang kamu janjikan kepada Yang Maha Kuasa.
15Berserulah kepada-Ku pada masa kesusahan;
Aku akan menyelamatkan kamu,
dan kamu akan memuji Aku.”
16Tetapi Allah berfirman kepada orang jahat,
“Kamu tidak berhak menghafaz hukum-Ku
dan membincangkan perjanjian-Ku,
17kerana kamu tidak mahu menerima tegur ajar-Ku;
kamu menolak perintah-Ku.
18Apabila kamu melihat pencuri, kamu berkawan dengan mereka,
kamu bergaul dengan orang yang berzina.
19Kamu sentiasa mengatakan yang jahat;
dengan tidak ragu-ragu kamu berdusta.
20Kamu sedia menuduh saudara kamu,
dan memfitnah saudara sekandung.
21Itulah yang kamu lakukan,
tetapi Aku diam sahaja,
maka kamu berfikir Aku seperti kamu juga.
Tetapi sekarang Aku mencela kamu,
dan menjadikan perkara itu nyata bagi kamu.
22Dengarlah, hai kamu yang melupakan Aku,
jika tidak, Aku akan membinasakan kamu;
dan tidak seorang pun dapat menyelamatkan kamu.
23Orang yang mempersembahkan ucapan syukur sebagai korban untuk menghormati Aku,
dan orang yang taat kepada-Ku akan Kuselamatkan.”

Terpilih Sekarang Ini:

MAZMUR 50: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami