MAZMUR 115:1-18
MAZMUR 115:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Bukan kami, ya TUHAN, bukan kami, tetapi Engkau sahaja yang harus dimuliakan dan dipuji, kerana Engkau setia dan tetap mengasihi kami. Mengapakah bangsa-bangsa bertanya, “Di manakah Allah mereka?” Allah kami ada di syurga; Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Berhala-berhala mereka dibuat daripada perak dan emas, dibentuk oleh tangan manusia. Berhala-berhala itu mempunyai mulut tetapi tidak dapat bercakap, mempunyai mata tetapi tidak dapat melihat, mempunyai telinga tetapi tidak dapat mendengar, mempunyai hidung tetapi tidak dapat menghidu, mempunyai tangan tetapi tidak dapat meraba, mempunyai kaki tetapi tidak dapat berjalan; berhala-berhala itu tidak dapat bersuara. Biarlah semua orang yang membuat berhala, dan yang percaya kepada berhala, menjadi seperti berhala yang dibuat mereka. Percayalah kepada TUHAN, hai umat Israel. Dialah yang menolong dan melindungi kamu. Percayalah kepada TUHAN, hai imam-imam Allah. Dialah yang menolong dan melindungi kamu. Percayalah kepada TUHAN, hai semua orang yang menyembah Dia. Dialah yang menolong dan melindungi kamu. TUHAN mengingati kita dan akan memberkati kita; Dia akan memberkati umat Israel dan semua imam Allah. Dia akan memberkati semua orang yang menghormati Dia; baik orang besar mahupun orang biasa. Semoga TUHAN menganugerahkan anak-anak kepada kamu dan keturunan kamu. Semoga kamu diberkati TUHAN, yang menjadikan langit dan bumi. Syurga adalah kepunyaan TUHAN sahaja, tetapi Dia memberikan bumi kepada manusia. TUHAN tidak dipuji oleh orang mati, orang yang sudah turun ke alam yang sunyi. Tetapi kita yang hidup bersyukur kepada-Nya, sekarang dan selama-lamanya.
MAZMUR 115:1-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Bukan kepada kami, ya TUHAN, bukan kepada kami tetapi kepada nama-Mu berilah kemuliaan, kerana kasih-Mu, kerana kesetiaan-Mu. Mengapa bangsa-bangsa harus berkata, “Di mana Allah mereka?” Namun Allah kami di syurga; Dia melakukan apa yang disukai-Nya. Berhala mereka daripada perak dan emas, buatan tangan manusia. Berhala itu ada mulut tetapi tidak berkata-kata, ada mata, tetapi tidak melihat; ada telinga, tetapi tidak mendengar, ada hidung, tetapi tidak menghidu; ada tangan, tetapi tidak memegang, ada kaki, tetapi tidak berjalan; juga tidak bersuara dari kerongkongnya. Orang yang membuatnya serupalah dengannya, demikian juga semua yang percaya kepadanya. Hai kaum Israel, percayalah kepada TUHAN — Dialah penolong dan perisai pelindungmu. Hai keturunan Harun, percayalah kepada TUHAN — Dialah penolong dan perisai pelindungmu. Kamu yang takut akan TUHAN, percayalah kepada-Nya — Dialah penolong dan perisai pelindungmu. TUHAN ingat kepada kita, Dia akan memberkati kita: Dia akan memberkati keturunan kaum Israel, Dia akan memberkati keturunan kaum Harun, Dia akan memberkati semua yang takut akan TUHAN — baik yang berkedudukan rendah atau tinggi. Semoga TUHAN memberimu semakin banyak keturunan, kamu dan anak-anakmu. Semoga kamu diberkati oleh TUHAN, yang menjadikan langit dan bumi. Langit, malah seluruh angkasa, ialah milik TUHAN, tetapi bumi telah diberikan-Nya kepada anak-anak manusia. Orang mati tidak memuji TUHAN, orang yang sudah turun ke alam sunyi; tetapi kita akan menyanjung TUHAN, dari saat ini dan untuk selama-lamanya. Pujilah TUHAN!