Bukan kepada kami, ya TUHAN, bukan kepada kami
tetapi kepada nama-Mu berilah kemuliaan, kerana kasih-Mu, kerana kesetiaan-Mu.
Mengapa bangsa-bangsa harus berkata,
“Di mana Allah mereka?”
Namun Allah kami di syurga;
Dia melakukan apa yang disukai-Nya.
Berhala mereka daripada perak dan emas, buatan tangan manusia.
Berhala itu ada mulut tetapi tidak berkata-kata,
ada mata, tetapi tidak melihat;
ada telinga, tetapi tidak mendengar,
ada hidung, tetapi tidak menghidu;
ada tangan, tetapi tidak memegang,
ada kaki, tetapi tidak berjalan;
juga tidak bersuara dari kerongkongnya.
Orang yang membuatnya serupalah dengannya,
demikian juga semua yang percaya kepadanya.
Hai kaum Israel, percayalah kepada TUHAN —
Dialah penolong dan perisai pelindungmu.
Hai keturunan Harun, percayalah kepada TUHAN —
Dialah penolong dan perisai pelindungmu.
Kamu yang takut akan TUHAN, percayalah kepada-Nya —
Dialah penolong dan perisai pelindungmu.
TUHAN ingat kepada kita,
Dia akan memberkati kita:
Dia akan memberkati keturunan kaum Israel,
Dia akan memberkati keturunan kaum Harun,
Dia akan memberkati semua yang takut akan TUHAN —
baik yang berkedudukan rendah atau tinggi.
Semoga TUHAN memberimu semakin banyak keturunan,
kamu dan anak-anakmu.
Semoga kamu diberkati oleh TUHAN,
yang menjadikan langit dan bumi.
Langit, malah seluruh angkasa, ialah milik TUHAN,
tetapi bumi telah diberikan-Nya kepada anak-anak manusia.
Orang mati tidak memuji TUHAN,
orang yang sudah turun ke alam sunyi;
tetapi kita akan menyanjung TUHAN,
dari saat ini dan untuk selama-lamanya.
Pujilah TUHAN!