MAZMUR 107:23-36
MAZMUR 107:23-36 Alkitab Berita Baik (BM)
Ada pula yang belayar dengan kapal, mencari nafkah di lautan yang luas. Mereka nampak perbuatan TUHAN, perbuatan-Nya yang menakjubkan di lautan. Dengan perintah-Nya, angin bertiup dengan kencang, dan ombak bergelora. Kapal-kapal terangkat tinggi ke udara, lalu terhempas ke dasar samudera; orang kehilangan keberanian menghadapi bahaya sedemikian. Mereka terhuyung-hayang seperti orang mabuk; segala kemahiran mereka menjadi sia-sia. Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan. Dia meneduhkan angin ribut, dan ombak pun menjadi tenang. Mereka bersukacita kerana ketenangan itu, dan Dia memimpin mereka ke pelabuhan yang dituju. Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka. Mereka mesti memberitakan keagungan-Nya dalam perhimpunan umat, dan memuji Dia di hadapan majlis para pemimpin. TUHAN mengeringkan sungai sehingga seperti gurun, dan menjadikan mata air kering gersang. Dia menyebabkan tanah subur menjadi padang tandus, akibat kezaliman orang yang tinggal di sana. Dia mengubah padang pasir menjadi kolam air, dan tanah yang kering menjadi mata air. Dia membolehkan orang yang kelaparan tinggal di sana, dan mereka membina kota sebagai tempat kediaman.
MAZMUR 107:23-36 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Mereka yang turun ke laut menaiki kapal; yang berurusan di lautan luas. Mereka melihat hasil-hasil kerja TUHAN, dan keajaiban-Nya di lautan dalam. Kerana Dia memerintahkan angin ribut bertiup dan meninggikan gelombang-gelombang laut. Mereka naik ke arah langit, mereka turun ke laut dalam; jiwa mereka lebur dalam kesusahan. Mereka terumbang-ambing dan terhuyung-hayang seperti orang mabuk, dan kehilangan akal. Kemudian mereka berseru kepada TUHAN dalam kesusahan mereka, dan Dia membawa mereka keluar daripada segala keazaban mereka. Dia menenangkan ribut; maka laut tidak bergelora lagi. Maka mereka bersukacita kerana telah tenang, lalu Dia memandu mereka ke tempat berteduh yang diingini mereka. Biarlah manusia bersyukur kepada TUHAN kerana kasih setia-Nya dan kerana hasil-hasil kerja-Nya yang menakjubkan untuk anak-anak manusia. Biarlah mereka meninggikan-Nya juga dalam perhimpunan orang dan memuji-Nya dalam kalangan tua-tua. Dia menukar sungai menjadi gurun, dan mata air menjadi tanah kering, tanah yang subur menjadi tandus, kerana kezaliman mereka yang tinggal di situ. Dia menukar gurun menjadi kolam-kolam air dan tanah kering menjadi mata air; di sana Dia menempatkan orang yang kelaparan, supaya mereka membina kota sebagai tempat tinggal.