MAZMUR 107:1-9
MAZMUR 107:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)
“Bersyukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik; kasih-Nya kekal!” Ulangilah kata-kata itu untuk memuji TUHAN, hai kamu semua yang sudah diselamatkan-Nya. Dia telah menyelamatkan kamu daripada musuh, dan membawa kamu kembali dari negeri-negeri asing, dari timur dan barat, dari utara dan selatan. Ada yang mengembara di padang pasir, tidak menemui jalan ke kota yang berpenghuni. Mereka kelaparan dan kehausan, dan kehilangan segala harapan. Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan. Dia memimpin mereka melalui jalan yang lurus, ke kota yang dapat didiami mereka. Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka. Dia memuaskan orang yang dahaga, dan mengenyangkan orang lapar dengan segala yang baik.
MAZMUR 107:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana kebaikan-Nya; kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya. Biarlah mereka yang ditebus oleh TUHAN berkata demikian — mereka yang telah ditebus-Nya daripada tangan musuh, dan dikumpulkan-Nya dari negeri-negeri, dari timur dan dari barat, dari utara dan dari selatan. Mereka telah merayau di gurun dalam kehampaan, mereka tidak dapat mencari kota untuk didiami. Lapar dan dahaga, jiwa mereka tidak bermaya. Kemudian mereka berseru kepada TUHAN dalam kesusahan mereka, dan Dia menyelamatkan mereka daripada segala keazaban mereka. Lalu Dia memandu mereka di jalan yang betul supaya mereka dapat pergi ke sebuah kota dan tinggal di situ. Biarlah manusia bersyukur kepada TUHAN kerana kasih setia-Nya dan kerana hasil-hasil kerja-Nya yang menakjubkan untuk anak-anak manusia, kerana Dia memuaskan jiwa yang penuh kerinduan, dan mengenyangkan jiwa yang lapar dengan kebaikan.