MAZMUR 107:1-43
MAZMUR 107:1-43 Alkitab Berita Baik (BM)
“Bersyukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik; kasih-Nya kekal!” Ulangilah kata-kata itu untuk memuji TUHAN, hai kamu semua yang sudah diselamatkan-Nya. Dia telah menyelamatkan kamu daripada musuh, dan membawa kamu kembali dari negeri-negeri asing, dari timur dan barat, dari utara dan selatan. Ada yang mengembara di padang pasir, tidak menemui jalan ke kota yang berpenghuni. Mereka kelaparan dan kehausan, dan kehilangan segala harapan. Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan. Dia memimpin mereka melalui jalan yang lurus, ke kota yang dapat didiami mereka. Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka. Dia memuaskan orang yang dahaga, dan mengenyangkan orang lapar dengan segala yang baik. Ada orang yang meringkuk di dalam kegelapan, orang tahanan yang dibelenggu dan menderita, kerana mereka telah memberontak terhadap perintah Allah, dan menolak arahan Yang Maha Kuasa. Mereka patah semangat kerana pekerjaan yang berat, mereka jatuh, dan tidak seorang pun memberikan pertolongan. Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan. Dia membawa mereka keluar dari kegelapan, dan memutuskan rantai yang membelenggu mereka. Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka. Dia merobohkan pintu-pintu gangsa, dan mematahkan palang-palang besi. Ada yang jahil dan menderita kerana dosa mereka, serta diseksa kerana kejahatan mereka; mereka mual terhadap segala makanan, dan sudah dekat pintu maut. Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, lalu Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan. Dia memulihkan mereka dengan firman-Nya, dan tidak membiarkan mereka mati. Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka. Mereka mesti bersyukur kepada-Nya dengan mempersembahkan korban, dan memberitakan perbuatan-Nya dengan lagu-lagu gembira. Ada pula yang belayar dengan kapal, mencari nafkah di lautan yang luas. Mereka nampak perbuatan TUHAN, perbuatan-Nya yang menakjubkan di lautan. Dengan perintah-Nya, angin bertiup dengan kencang, dan ombak bergelora. Kapal-kapal terangkat tinggi ke udara, lalu terhempas ke dasar samudera; orang kehilangan keberanian menghadapi bahaya sedemikian. Mereka terhuyung-hayang seperti orang mabuk; segala kemahiran mereka menjadi sia-sia. Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan. Dia meneduhkan angin ribut, dan ombak pun menjadi tenang. Mereka bersukacita kerana ketenangan itu, dan Dia memimpin mereka ke pelabuhan yang dituju. Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka. Mereka mesti memberitakan keagungan-Nya dalam perhimpunan umat, dan memuji Dia di hadapan majlis para pemimpin. TUHAN mengeringkan sungai sehingga seperti gurun, dan menjadikan mata air kering gersang. Dia menyebabkan tanah subur menjadi padang tandus, akibat kezaliman orang yang tinggal di sana. Dia mengubah padang pasir menjadi kolam air, dan tanah yang kering menjadi mata air. Dia membolehkan orang yang kelaparan tinggal di sana, dan mereka membina kota sebagai tempat kediaman. Mereka membajak ladang dan menanam pokok anggur, dan mendapat hasil yang banyak. Dia menganugerahi umat-Nya anak yang banyak, dan memelihara ternakan mereka supaya berkembang biak. Apabila umat Allah dikalahkan dan dihina dengan penindasan yang kejam serta penderitaan, TUHAN mempermalukan penindas mereka, dan menyebabkan mereka mengembara di padang pasir. Tetapi Dia menyelamatkan orang miskin daripada kesusahan, dan menyebabkan keluarga mereka mempunyai banyak anak. Orang baik nampak hal itu dan bergirang, tetapi semua orang jahat disenyapkan. Semoga orang bijak memikirkan perkara itu, semoga mereka merenungkan kasih TUHAN.
MAZMUR 107:1-43 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana kebaikan-Nya; kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya. Biarlah mereka yang ditebus oleh TUHAN berkata demikian — mereka yang telah ditebus-Nya daripada tangan musuh, dan dikumpulkan-Nya dari negeri-negeri, dari timur dan dari barat, dari utara dan dari selatan. Mereka telah merayau di gurun dalam kehampaan, mereka tidak dapat mencari kota untuk didiami. Lapar dan dahaga, jiwa mereka tidak bermaya. Kemudian mereka berseru kepada TUHAN dalam kesusahan mereka, dan Dia menyelamatkan mereka daripada segala keazaban mereka. Lalu Dia memandu mereka di jalan yang betul supaya mereka dapat pergi ke sebuah kota dan tinggal di situ. Biarlah manusia bersyukur kepada TUHAN kerana kasih setia-Nya dan kerana hasil-hasil kerja-Nya yang menakjubkan untuk anak-anak manusia, kerana Dia memuaskan jiwa yang penuh kerinduan, dan mengenyangkan jiwa yang lapar dengan kebaikan. Mereka yang duduk dalam kegelapan dan bayangan maut, dibelenggu dengan derita serta rantai besi, kerana mereka telah memberontak terhadap firman Allah dan menghina bimbingan Yang Maha Tinggi. Oleh itu, Dia menundukkan hati mereka dengan kerja teruk; mereka jatuh tersungkur, dan tiada siapa yang menolong. Kemudian mereka berseru kepada TUHAN dalam kesusahan mereka, dan Dia menyelamatkan mereka daripada segala keazaban mereka. Dia membawa mereka keluar daripada kegelapan dan bayangan maut dan menghancurkan rantai pengikat mereka. Biarlah manusia bersyukur kepada TUHAN kerana kasih setia-Nya dan kerana hasil-hasil kerja-Nya yang menakjubkan untuk anak-anak manusia, kerana Dia telah memecahkan pintu-pintu pagar gangsa dan memotong palang-palang besi sehingga patah dua. Orang yang bodoh, kerana keingkaran mereka dan kerana dosa mereka, telah ditimpa kesakitan. Jiwa mereka membenci segala jenis makanan, maka mereka hampir ke pintu maut. Kemudian mereka berseru kepada TUHAN dalam kesusahan mereka, dan Dia menyelamatkan mereka daripada segala keazaban mereka. Dia menghantar firman-Nya dan menyembuhkan mereka; serta melepaskan mereka daripada kemusnahan. Biarlah manusia bersyukur kepada TUHAN kerana kasih setia-Nya dan kerana hasil-hasil kerja-Nya yang menakjubkan untuk anak-anak manusia. Biarlah mereka mempersembahkan korban-korban kesyukuran dan mengisytiharkan hasil-hasil kerja-Nya sambil bergembira. Mereka yang turun ke laut menaiki kapal; yang berurusan di lautan luas. Mereka melihat hasil-hasil kerja TUHAN, dan keajaiban-Nya di lautan dalam. Kerana Dia memerintahkan angin ribut bertiup dan meninggikan gelombang-gelombang laut. Mereka naik ke arah langit, mereka turun ke laut dalam; jiwa mereka lebur dalam kesusahan. Mereka terumbang-ambing dan terhuyung-hayang seperti orang mabuk, dan kehilangan akal. Kemudian mereka berseru kepada TUHAN dalam kesusahan mereka, dan Dia membawa mereka keluar daripada segala keazaban mereka. Dia menenangkan ribut; maka laut tidak bergelora lagi. Maka mereka bersukacita kerana telah tenang, lalu Dia memandu mereka ke tempat berteduh yang diingini mereka. Biarlah manusia bersyukur kepada TUHAN kerana kasih setia-Nya dan kerana hasil-hasil kerja-Nya yang menakjubkan untuk anak-anak manusia. Biarlah mereka meninggikan-Nya juga dalam perhimpunan orang dan memuji-Nya dalam kalangan tua-tua. Dia menukar sungai menjadi gurun, dan mata air menjadi tanah kering, tanah yang subur menjadi tandus, kerana kezaliman mereka yang tinggal di situ. Dia menukar gurun menjadi kolam-kolam air dan tanah kering menjadi mata air; di sana Dia menempatkan orang yang kelaparan, supaya mereka membina kota sebagai tempat tinggal. Dan menyemai benih di ladang dan menanam anggur di kebun untuk mendapat hasil yang mewah; Dia juga memberkati mereka, lalu mereka beranak-pinak dengan ramainya, dan Dia tidak membiarkan lembu ternakan mereka berkurangan. Apabila mereka dijadikan kecil dan lemah dengan penindasan, derita serta kesedihan, Dia mencurahkan kehinaan ke atas orang bangsawan dan membuat mereka merayau di gurun serta sesat di situ. Sebaliknya, Dia mengangkat tinggi orang sesak jauh daripada derita dan menjadikan keluarga mereka seperti kawanan domba. Orang yang tulus melihatnya dan bersukacita, serta seluruh kejahatan membisu. Sesiapa yang bijaksana akan memerhatikan semua ini dan akan mengerti kasih TUHAN.